Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Merchantrade Asia Sdn. Bhd. berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011
Pada 6 Mac 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM29,000 terhadap Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) kerana tidak mematuhi keperluan saringan sekatan (sanctions screening) di bawah subseksyen 74(3) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.1, 27.4.5 dan 27.4.6 dalam Dokumen Dasar Anti Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).[2]
Ketidakpatuhan ini disebabkan oleh kelemahan Merchantrade dalam prosedur saringan sekatan dan jurang dalam mengemas kini pangkalan data sekatan berikutan penerbitan Senarai Domestik.[3]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Merchantrade dikehendaki melaksanakan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, pelanggan berpotensi atau baharu mengikut Senarai Domestik dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) dan proses usaha wajar yang berterusan. Merchantrade juga perlu memastikan padanan berpotensi dengan Senarai UNSCR atau Senarai Domestik merupakan padanan tepat bagi mengelakkan positif palsu (false positive). Bagi memenuhi keperluan ini, Merchantrade telah memperkukuh proses mereka dengan melanggan perkhidmatan pangkalan data komersial untuk memastikan organisasi menerima kemas kini tentang senarai sekatan tepat pada masanya serta memastikan kakitangan dan ejen diberikan latihan semasa bekerja (on-the-job training) secara berterusan untuk meningkatkan pematuhan.
Jumlah AMP yang berkenaan telah ditentukan dengan mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- tahap keseriusan ketidakpatuhan;
- bahagian penambahbaikan yang diperlukan dalam proses dan prosedur Merchantrade untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan;
- rekod pematuhan Merchantrade pada masa lalu; dan
- penilaian terhadap tingkah laku Merchantrade selepas salah laku termasuk tindakan pemulihan untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Merchantrade telah membayar sebanyak RM29,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 6 Mac 2025.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan sekatan kewangan bersasar. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang wajar sekiranya RI gagal memenuhi keperluan pengawalseliaan tersebut.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut perenggan 75(2)(b) MSBA.
[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Anti Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah Besar-Besaran dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikuatkuasakan di bawah perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.1, 27.4.8 dan 27.4.9 Dokumen Dasar AML/CFT/CPF and TFS for FIs.
[3] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti tertentu yang diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA), berikutan penglibatan entiti dalam tindakan keganasan.
[4] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan mengikut UNSCR yang relevan dan dianggap sebagai entiti tertentu menurut seksyen 66C(2) AMLA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.