Bank Negara Malaysia Mengumumkan Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama Tahun 2018

26 Sep 2018 Siaran Akhbar

Kestabilan kewangan domestik kekal utuh meskipun dalam keadaan ketidakpastian yang nyata akibat daripada faktor-faktor dalam negeri dan luaran pada separuh pertama tahun 2018. Bagi sektor luaran, pertumbuhan global kekal kukuh. Walau bagaimanapun, ketegangan perdagangan dan juga kenaikan kadar faedah di AS telah meningkatkan volatiliti pasaran global dan menyebabkan berlakunya aliran keluar portfolio bukan pemastautin, terutamanya daripada ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia. Pasaran kewangan domestik juga mengalami beberapa episod volatiliti yang lebih tinggi disebabkan ketidakpastian berikutan keputusan pilihan raya umum Malaysia ke-14. Meskipun begitu, sistem kewangan Malaysia terus berdaya tahan disokong kuat oleh tahap permodalan institusi kewangan yang teguh serta pasaran kewangan yang mendalam dengan mudah tunai yang mencukupi. Hal ini membolehkan aktiviti pengantaraan kewangan dapat berjalan dengan lancar.

Keadaan mudah tunai dan pendanaan kekal kondusif untuk menyokong pengantaraan kewangan sepanjang tempoh separuh pertama tahun 2018. Lebihan mudah tunai dalam sistem perbankan kini berjumlah RM156.2 bilion. Usaha bank-bank untuk terus mempelbagaikan sumber pendanaan mereka dengan menambah instrumen hutang jangka sederhana yang stabil berserta penampan aset mudah tunai berkualiti tinggi yang jauh melebihi keperluan minimum Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (Liquidity Coverage Ratio, LCR) terus memperkukuh daya tahan bank terhadap potensi tekanan mudah tunai dan pendanaan pada masa akan datang.

Risiko daripada dedahan sektor isi rumah terus dikurangkan oleh pengunderaitan dan penilaian kemampuan pengambilan pinjaman yang berhemat oleh institusi kewangan serta amalan pengurusan risiko yang mantap. Peminjaman isi rumah yang baharu kekal berkualiti tinggi. Kira-kira tiga perempat daripada pinjaman baharu yang diluluskan adalah untuk peminjam yang mempunyai nisbah khidmat bayaran hutang (debt service ratio, DSR) yang kurang daripada 60%. Secara keseluruhan, pengumpulan hutang isi rumah juga berada pada tahap yang lebih mampan selaras dengan pertumbuhan pendapatan. Keadaan ini adalah hasil daripada pelbagai langkah yang dilaksanakan sejak tahun 2010. Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK pada suku kedua 2018 terus menurun kepada 83.8% (2017: 84.2%).

Keadaan ketidakseimbangan dalam pasaran harta tanah terus berlarutan. Jumlah unit rumah yang tidak terjual meningkat kepada kira-kira 146,196 unit pada akhir suku pertama 2018. Daripada jumlah tersebut, lebih 80% daripadanya merupakan rumah berharga melebihi RM250,000. Bekalan yang berlebihan dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah juga dijangka berlarutan berikutan kadar kekosongan yang bertambah teruk pada suku pertama 2018. Namun demikian, permintaan untuk rumah mampu milik yang berterusan, terutamanya daripada pembeli rumah kali pertama serta amalan pengunderaitan yang berhemat oleh bank dalam pemberian pinjaman kepada pasaran harta tanah dan sektor berkaitan dijangka dapat mengurangkan risiko akibat pelarasan harga yang meluas.

Kedudukan kewangan syarikat bukan kewangan Malaysia (non-financial corporations, NFC) kekal kukuh pada separuh pertama tahun 2018. Agregat leveraj NFC meningkat sedikit, namun kedudukan kewangan syarikat-syarikat terus kukuh dengan kapasiti membayar balik hutang melebihi ambang kehematan (nisbah perlindungan faedah pada 8.2 kali). Prestasi perniagaan syarikat-syarikat dalam sektor pertanian serta minyak dan gas mungkin mendapat kesan akibat gangguan bekalan yang dijangka berlarutan sehingga akhir tahun 2018. Walau bagaimanapun, kebanyakan sektor lain dijangka mencatat prestasi yang lebih baik berikutan sentimen positif pengguna dan sektor perniagaan, perbelanjaan runcit yang lebih tinggi semasa tempoh pelepasan cukai, dan juga keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan.

Risiko yang berpunca daripada kesalinghubungan antara institusi kewangan bukan bank (IKBB) dengan sistem kewangan domestik pada amnya stabil dan sebahagian besarnya terkawal. Risiko penularan daripada dedahan luaran dan operasi luar negeri bank juga dijangka dapat dibendung. Tiada tanda pergantungan yang berlebihan terhadap pendanaan daripada luar dan mata wang bersilang dalam kalangan bank dalam negeri. Hutang luar negeri bank dalam negeri membentuk kurang 8% daripada jumlah liabiliti sistem perbankan, manakala pendeposit bukan pemastautin pula hanya mencakupi 4.7% daripada jumlah deposit sistem perbankan. Walaupun aset luaran meningkat seiring dengan liabiliti luaran bank, liabiliti luaran bersih sistem perbankan meningkat pada separuh pertama tahun 2018. Hal ini terutamanya mencerminkan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh bank untuk memperkukuh penampan mudah tunai mata wang asing mereka berikutan volatiliti pasaran global yang semakin ketara. Operasi domestik bank-bank Malaysia terus dibiayai sebahagian besarnya oleh sumber pendanaan domestik dalam denominasi ringgit. Kumpulan perbankan domestik juga terus memperluas operasi luar negeri mereka di rantau ini selaras dengan hubungan pelaburan yang semakin meningkat di Asia walaupun kadar peningkatannya adalah lebih sederhana. Operasi kumpulan perbankan domestik ini terus disokong oleh tahap permodalan yang kukuh dengan perolehan yang bertambah baik, kualiti aset yang teguh dan struktur pendanaan yang stabil.

Secara keseluruhan, sistem perbankan terus disokong oleh permodalan yang kukuh, portfolio kredit yang utuh dan tahap peruntukan yang berhemat. Prestasi kewangan sistem perbankan pada separuh pertama tahun 2018 adalah kukuh dengan peningkatan dalam margin berikutan manfaat yang diperoleh bank daripada peningkatan kecekapan yang berterusan serta aset yang lebih berkualiti. Jumlah pinjaman terjejas (setelah ditolak peruntukan pinjaman terjejas individu) menguncup sebanyak 10% kepada RM16 bilion atau 1% daripada jumlah pinjaman bersih (2017: RM17.8 bilion atau 1.1%). Pulangan tahunan atas aset dan ekuiti terus stabil, masing-masing pada 1.5% dan 13.3%. Prestasi perolehan bank dijangka terus menggalakkan hasil daripada usaha yang berterusan oleh bank untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Sektor insurans dan takaful mengekalkan pertumbuhan positif sebanyak 2.2% disokong oleh permodalan keseluruhan yang mantap. Perniagaan baharu insurans hayat dan pengendali takaful keluarga mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 7.7% (ST1 2017: 6%). Hal ini sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan dalam produk insurans dan takaful berkaitan kredit sejajar dengan pertumbuhan pinjaman perumahan. Perniagaan sektor insurans am dan takaful am kekal kukuh, disokong oleh segmen motor, serta permintaan daripada segmen perubatan dan kesihatan yang secara relatif lebih tinggi. Industri ini secara keseluruhan terus menjana keuntungan meskipun terjejas oleh pulangan pelaburan yang lebih rendah, sejajar dengan prestasi pasaran kewangan domestik.

Ujian tekanan terkini yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia mengesahkan bahawa sistem kewangan Malaysia dijangka terus berdaya tahan dalam keadaan ketegangan makroekonomi dan kewangan yang teruk serta mampu mengekalkan tahap penampan modal lebihan yang melebihi tahap minimum pengawalseliaan meskipun di bawah senario yang teruk. Penampan modal lebihan institusi kewangan kini berjumlah RM135.9 bilion. Pihak Bank Negara Malaysia sentiasa mengambil sikap berwaspada terhadap perkembangan yang berlaku di dalam dan di luar negeri yang boleh memberikan kesan terhadap kestabilan kewangan domestik, termasuk keadaan kewangan global yang semakin ketat, yang berpotensi menyebabkan peningkatan volatiliti pasaran kewangan yang lebih ketara.

  1. Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama Tahun 2018
  2. Penunjuk Kekukuhan Kewangan Utama
  3. Kumpulan Data Rajah untuk Tinjauan Kestabilan Kewangan

Bank Negara Malaysia
26 September 2018

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?