Bank Negara Malaysia Menubuhkan Kemudahan Bantuan Khas 2015 untuk Perniagaan yang Terjejas Akibat Banjir
Bank Negara Malaysia mewujudkan Kemudahan Bantuan Khas berjumlah RM500 juta untuk meringankan masalah yang dihadapi oleh perusahaan perniagaan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Di bawah Kemudahan ini, perniagaan yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah daripada semua bank perdagangan, bank Islam, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).
Bank Negara Malaysia akan menyediakan jaminan sebanyak 60% untuk pembiayaan yang diperoleh melalui Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC). Tiada cagaran tambahan diperlukan untuk pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Khas ini.
Ciri-ciri utama Kemudahan Bantuan Khas ialah:
- Disediakan untuk PKS milik warganegara Malaysia yang terbabit di daerah yang dikenal pasti oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri sebagai kawasan bencana banjir;
- Jumlah pembiayaan maksimum ialah RM500,000 bagi setiap kumpulan syarikat (group of companies);
- Kadar pembiayaan efektif adalah sehingga 2.25 % setahun; dan
- Tempoh pembiayaan adalah sehingga 5 tahun, dengan tempoh penangguhan bayaran selama 6 bulan.
Perusahaan perniagaan yang memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana institusi kewangan peserta. Kemudahan ini disediakan mulai hari ini sehingga 30 Jun 2015 atau sehingga semua peruntukan digunakan sepenuhnya, yang mana terdahulu.
Kemudahan Bantuan Khas oleh Bank Negara Malaysia dan beberapa langkah yang diumumkan oleh institusi kewangan dan syarikat insurans, termasuk penangguhan sementara pembayaran balik pembiayaan, penyusunan semula atau penjadualan semula pembiayaan dan pengecualiaan atas caj transaksi dan/atau program pembiayaan bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS.
Orang ramai boleh menghubungi terus pusat perhubungan pelanggan institusi kewangan mereka untuk pertanyaan atau bantuan. Orang ramai juga boleh menghubungi TELELINK Bank Negara Malaysia di 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut atau bantuan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.