Bank Negara Malaysia Menubuhkan Skim Bantuan Jaminan PKS sebanyak RM2 bilion

Embargo: Untuk siaran segera
23 Jan 2009 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penubuhan Skim Bantuan Jaminan PKS ( SME Assistance Guarantee Scheme ) bagi memastikan PKS berdaya maju yang menerima kesan buruk daripada kelembapan ekonomi semasa akan terus mendapat akses kepada pembiayaan yang mencukupi. Dengan adanya perlindungan jaminan, adalah dijangka bahawa akses pembiayaan kepada PKS yang berdaya maju akan dipermudahkan, pada kos yang lebih rendah.

Di bawah Skim ini, setiap PKS yang layak akan menerima pembiayaan sehingga RM500,000 untuk tempoh sehingga 5 tahun. Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC) akan memberikan perlindungan jaminan sebanyak 80% bagi pembiayaan yang diluluskan di bawah Skim ini. Perlindungan jaminan ini akan diberi secara percuma dan kos jaminan akan ditanggung sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia. Pembiayaan yang diterima di bawah Skim ini adalah untuk pembiayaan baharu sahaja dan digunakan untuk tujuan perniagaan seperti modal kerja, pembiayaan projek dan perbelanjaan modal.

Skim ini boleh didapati di mana-mana bank perdagangan dan bank-bank Islam, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, EXIM Bank dan Bank Simpanan Nasional. Institusi kewangan yang menyertai Skim ini akan menetapkan kadar pinjaman atau pembiayaan yang akan dikenakan dan permohonan adalah tertakluk kepada proses kelulusan pinjaman biasa institusi kewangan yang menyertai Skim ini. Permohonan bagi Skim ini akan dibuka dari 3Februari 2009 hingga 31 Disember 2009 atau apabila jumlah pembiayaan sebanyak RM2 bilion telah digunakan sepenuhnya.

Untuk keterangan lanjut, PKS boleh menghubungi institusi kewangan yang menyertai Skim ini atau menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau mengunjungi laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
23 Januari 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?