Bank Negara Malaysia Terbitkan Buku Wang Saku dan Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2007

Hari ini Bank Negara Malaysia menerbitkan Buku Wang Saku (BWS) dan Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga (BPPKK) 2007 siri kesembilan. Penerbitan buku ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan mengurus kewangan peribadi dan merancang kewangan.
BWS direka khusus untuk para pelajar. Buku ini menonjolkan kepentingan pendidikan kewangan bagi meningkatkan kemahiran, dan pengetahuan pelajar dalam aspek pengurusan wang. Penggunaan BWS sebagai alat pembelajaran akan dapat menyemai budaya dan tabiat mengurus kewangan peribadi secara bijak pada peringkat yang lebih awal. Semua lakaran dalam BWS ialah hasil kreativiti Y. Bhg. Dato' Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai "Lat". Setakat ini sejumlah 5.2 juta naskhah BWS telah diedarkan kepada para pelajar di lebih 7,000 buah sekolah di seluruh Malaysia. Semua ini ialah hasil kerjasama institusi kewangan di bawah Program Sekolah Angkat.
BWS mempunyai dua versi yang berbeza, iaitu satu untuk sekolah menengah, dan satu lagi untuk sekolah rendah. BWS untuk pelajar sekolah menengah yang diperkenalkan pada tahun 2005 tertumpu pada ilmu perakaunan asas, dan pendidikan kewangan, sementara BWS untuk pelajar sekolah rendah pula memberi penekanan pada penggunaan BWS sebagai alat untuk mengurus wang saku mereka.
Pengedaran BWS 2007 ke sekolah-sekolah di bawah Program Sekolah Angkat akan disalurkan menerusi bank-bank perdagangan tempatan dan asing, syarikat insurans hayat, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia, dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad.
BPPKK atau Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2007 direka untuk membantu sesebuah keluarga menyediakan belanjawan mereka, dan mengurus pendapatan, perbelanjaan, simpanan, dan pelaburan keluarga mereka. Buku ini juga mengandungi satu bahagian yang memaparkan konsep "Perancangan Hidup dan Kewangan" untuk keluarga. BPPKK akan diedarkan melalui saluran yang sama seperti tahun sebelum ini, iaitu menerusi kedai-kedai buku terpilih bagi memastikan orang dewasa dalam kalangan rakyat Malaysia dapat memilikinya. Buku ini juga bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan yang lebih luas dalam belanjawan, dan pengurusan kewangan.
Kesemua buku ini boleh didapati mulai hari ini di Muzium Matawang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur; cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Baru, Kuala Terengganu, Kuching, dan Kota Kinabalu; Kedai Buku MPH dan kedai-kedai buku terpilih yang lain mulai hari ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.