Bank Negara Malaysia Terbitkan "Buku Wang Saku" Dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" Bagi Tahun 2006

Embargo: Untuk siaran segera
29 Dis 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini menerbitkan "Buku Wang Saku" (BWS) dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" (BPPKK) bagi tahun 2006. Buku yang mula diperkenalkan pada tahun 1999 ini ialah siri yang kelapan. Penerbitan buku ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkat kesedaran awam tentang kepentingan mengurus kewangan peribadi dan perancangan kewangan.

BWS direka khusus untuk pelajar dan tema bagi edisi tahun 2006 ialah "Pendidikan kewangan sebagai asas perancangan kewangan". Ia memaparkan ilustrasi yang menonjolkan kepentingan pendidikan kewangan yang menyumbang kepada pengetahuan tentang wang dan kewangan di kalangan pelajar. Penggunaan BWS sebagai alat pembelajaran akan mendidik pelajar tentang budaya dan tabiat bijak mengurus kewangan peribadi. Semua lakaran dalam BWS dihasilkan oleh Y. Bhg. Dato' Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai "Lat". Setakat ini, dengan kerjasama bank-bank perdagangan di bawah Program Sekolah Angkat, sejumlah 4.5 juta naskah BWS telah diedarkan kepada pelajar di lebih 7,000 buah sekolah di seluruh Malaysia.

BWS 2006 ini diterbitkan dalam dua versi setiap satu bagi pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah. BWS bagi pelajar sekolah menengah memberi tumpuan pada ilmu perakaunan dan pendidikan kewangan sementara BWS bagi pelajar sekolah rendah menekankan penggunaan BWS sebagai alat untuk mengurus wang saku.

Pengedaran BWS 2006 ke sekolah-sekolah di bawah Program Sekolah Angkat akan laksanakan oleh bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad.

BPPKK 2006 pula direka untuk membantu golongan berkeluarga mengurus belanjawan mereka dan merancang pendapatan isi rumah, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan. Buku ini juga mengandungi satu bahagian yang memaparkan konsep “Perancangan Hidup dan Kewangan” untuk keluarga. BPPKK juga diedarkan, melalui saluran pengedaran terpilih seperti kedai-kedai buku terpilih dan Kedai Pos 2020 semenjak tahun 1999, kepada rakyat Malaysia golongan dewasa terutama wanita dan pekerja dengan matlamat menyediakan pengetahuan dan kesedaran yang lebih luas dalam pengurusan kewangan dan belanjawan.

Buku-buku yang diterbitkan ini boleh didapati di Muzium Matawang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur; cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; bank perdagangan; Kedai Pos 2020; Kedai Buku MPH dan kedai-kedai buku terpilih yang lain mulai hari ini.


Bank Negara Malaysia
29 Disember 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?