Bank Negara Malaysia Tuan Rumah Forum Kewangan Islam Global

25 Jan 2007 Siaran Akhbar

Mesyuarat Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini memandangkan jawatan Pengerusi Majlis IFSB bagi penggal 2007 disandang Bank Negara Malaysia. Sempena acara ini, Bank Negara Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF) dari 26 hingga 29 Mac 2007 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ucaptama yang akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara acara utama GIFF.

GIFF 2007 yang merangkumi tiga forum akan memperlihatkan peluang-peluang perniagaan dan membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan dengan kewangan Islam dengan tema 'Memupuk Hubungan dalam Kewangan Islam' ('Fostering Linkages in Islamic Finance'). Forum tersebut ialah:

  • Forum Pelabur dan Penerbit Modal dari 27 hingga 28 Mac 2007 Forum yang diadakan setiap tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mempromosikan negara sebagai pusat kewangan Islam Antarabangsa. Forum itu memberi peluang kepada para pelabur, penerbit modal dan peserta industri kewangan global untuk berbincang tentang peluang pelaburan dan perniagaan di Asia, dengan pemahaman tentang trend dan prospek ekonomi global dan serantau, tertumpu pada kelebihan berbanding Asia sebagai destinasi pelaburan Islam. Forum itu turut menyediakan platform untuk pertemuan perniagaan bagi peserta Forum menjalin hubungan dengan peneraju industri kewangan global.  
  • Forum Pengawal Selia Kewangan dalam Kewangan Islam dari 26 hingga 29 Mac 2007 Forum yang julung kali dianjurkan di bawah naungan Program Kerjasama Teknikal Malaysia ini ialah forum khusus untuk pengawal selia kewangan termasuk industri perbankan, insurans dan sekuriti. Forum yang akan diadakan secara tahunan itu merangkumi prapersidangan, persidangan dan bengkel eksekutif yang bertujuan untuk membolehkan perbincangan yang komprehensif berhubung dengan isu perundangan, pengawalseliaan dan kehematan bagi industri kewangan Islam.  
  • The Banking and Financial Law School 2007 pada 27 Mac 2007 Forum dwitahunan ini dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM) dan Majlis Peguam Malaysia untuk berbincang tentang dokumentasi perundangan Musyarakah Mutanaqisah dan urus niaga sukuk, dan isu-isu perudangan yang berkaitan.

Pameran GIFF juga akan diadakan dari 26 hingga 29 Mac 2007 untuk memberi peluang kepada komuniti kewangan global di samping penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan pelaburan dan kewangan Islam.


Bank Negara Malaysia
25 Januari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?