Bantuan kepada PMKS di bawah Belanjawan 2024
- RM600 juta diperuntukkan kepada PMKS di bawah Dana BNM untuk PKS
- Tambahan RM25 juta dalam bentuk dana padanan diperuntukkan melalui iTEKAD untuk membantu usahawan mikro
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin berkongsi maklumat lanjut mengenai bantuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, pada 13 Oktober 2023.
Sokongan berterusan di bawah Dana BNM untuk PKS
BNM terus menyokong segmen-segmen utama PMKS untuk mendapatkan pembiayaan pada kadar yang kompetitif. Sejumlah RM600 juta daripada beberapa kemudahan pembiayaan di bawah Dana BNM untuk PKS telah diperuntukkan untuk empat segmen sasar.
- Tambahan RM200 juta diperuntukkan untuk Kemudahan Perusahaan Mikro (Micro Enterprises Facility, MEF) bagi terus menyokong usaha keperluan pembiayaan usahawan mikro, dengan RM50 juta akan diperuntukkan kepada usahawan mikro berpendapatan rendah di bawah inisiatif iTEKAD.
- Sebanyak RM200 juta di bawah Kemudahan untuk Semua Sektor Ekonomi (All Economic Sectors, AES) akan diperuntukkan bagi memangkin pemberian pembiayaan di bawah program CAKNA 2, iaitu kemudahan pembiayaan untuk kontraktor kecil (G1-G4) oleh institusi kewangan. Dana ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan projek kerajaan berskala kecil (yang mempunyai nilai kontrak kurang RM1.5 juta).
- Sebanyak RM100 juta di bawah Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility, AF) akan disasarkan untuk menyokong agenda sekuriti makanan negara dengan meningkatkan bekalan makanan tempatan dan memperluas sumber import.
- Sebanyak RM100 juta juga akan disalurkan di bawah Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (Low Carbon Transition Facility, LCTF) bagi menggalakkan PMKS mendapatkan pensijilan kelestarian untuk operasi perniagaan mereka.
Secara keseluruhan, RM8.4 bilion masih tersedia untuk PMKS di bawah semua kemudahan pembiayaan Dana BNM untuk PKS. Kemudahan ini sejajar dengan usaha menyokong penglibatan PMKS dalam inisiatif-inisiatif utama Kerajaan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan inisiatif-inisiatif lain di bawah Belanjawan 2024.
Untuk maklumat lanjut mengenai semua kemudahan pembiayaan di bawah Dana BNM untuk PKS, sila layari bnm.gov.my/funds4sme.
Peruntukan Tersedia di bawah Dana BNM untuk PKS
|
No |
Kemudahan |
Dana Tersedia |
Catatan |
|
1 |
Kemudahan untuk Semua Sektor Ekonomi (AES) |
2,904 |
RM200 juta akan diperuntukkan bagi memangkin pemberian pembiayaan kontrak untuk kontraktor kecil (G1-G4) |
|
2 |
Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) |
1,000 |
|
|
3 |
Kemudahan Automasi dan Digital PKS (ADF) |
914 |
|
|
4 |
Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) |
892 |
RM100 juta akan diperuntukkan untuk menggalakkan PMKS mendapatkan pensijilan kelestarian |
|
5 |
Kemudahan Teknologi Tinggi & Hijau (HTG) |
808 |
|
|
6 |
Kemudahan Agromakanan (AF) |
798 |
RM100 juta akan diperuntukkan untuk menyokong agenda sekuriti makanan negara |
|
7 |
Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) |
464 |
|
|
8 |
Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) |
417 |
Tambahan peruntukkan RM200 juta untuk MEF, dengan RM50 juta diperuntukkan untuk usahawan mikro berpendapatan rendah di bawah inisiatif iTEKAD |
|
9 |
Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) |
231 |
|
|
|
Jumlah |
8,428 |
Langkah-langkah untuk meningkatkan dana kewangan sosial dan menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah melalui iTEKAD
Tambahan RM25 juta dalam bentuk dana padanan akan diperuntukkan bagi menyokong usaha memperluas inisiatif iTEKAD dan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah. Dana ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk dana tanggungjawab sosial korporat), zakat dan wakaf tunai.
Untuk maklumat lanjut mengenai iTEKAD dan inisiatif kewangan sosial yang lain, sila layari bnm.gov.my/social-finance.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.