Bantuan tambahan untuk PKS dan individu di bawah Belanjawan 2022

29 Okt 2021 Siaran Akhbar
  • Tambahan RM4.5 bilion diperuntukkan di bawah Dana BNM untuk PKS
  • Tambahan RM20 juta untuk membantu usahawan mikro daripada kumpulan berpendapatan rendah melalui iTEKAD
  • Program Baucar Perlindungan Tenang untuk penerima B40 yang layak akan diteruskan pada tahun 2022

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin berkongsi maklumat lanjut mengenai bantuan tambahan yang akan dilaksanakan oleh BNM dan industri kewangan seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2022 oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia.

Penambahbaikan Dana BNM untuk PKS

BNM akan membuat beberapa penambahbaikan kepada Dana BNM untuk PKS bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik.

Peruntukan di bawah dua kemudahan sedia ada akan ditambah:

  • RM2 bilion akan ditambah kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (Targeted Relief and Recovery Facility, TRRF). Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM8 bilion.
  • Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility, AF) juga akan ditambah sebanyak RM500 juta. Penambahan ini akan meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM2 bilion.

BNM juga akan mewujudkan dua kemudahan pembiayaan baharu yang akan tersedia mulai bulan Januari 2022:

  1. Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF) sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan untuk memperkukuh struktur modal perniagaan. Kemudahan ini akan membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan dan pada masa yang sama, mengurus tahap keberhutangan mereka dengan lebih baik supaya lebih mampan. Melalui BRF, PKS boleh mendapatkan sama ada:
    1. pembiayaan dalam bentuk ekuiti atau instrumen jenis ekuiti, atau;
    2. pembiayaan hutang digabungkan dengan ekuiti secara perkongsian dengan pembiaya ekuiti pihak ketiga (pembiayaan campuran).
  2. Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF) sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan berdasarkan pembiayaan yang setara oleh institusi kewangan peserta bagi membantu PKS menerapkan amalan lestari dan rendah karbon dalam operasi perniagaan mereka. Amalan ini termasuk peningkatan penggunaan bahan mentah yang lestari dan tenaga boleh diperbaharui serta penambahbaikan kecekapan tenaga yang digunakan oleh bangunan dan jentera.

Semua penambahbaikan ini merupakan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion dalam peruntukan bagi Dana BNM untuk PKS.

Selain kemudahan ini, kemudahan lain terus ditawarkan di bawah Dana ini termasuk Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (High Tech Facility – National Investments Aspirations, HTF-NIA), Kemudahan Automasi dan Digital PKS (SME Automation and Digitalisation Facility, ADF) dan Kemudahan Perusahaan Mikro (Micro Enterprises Facility, MEF). Secara keseluruhan, jumlah dana yang tersedia di bawah Dana BNM untuk PKS adalah sebanyak RM11.2 bilion.

Untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my/covid19.

Peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta untuk usahawan mikro daripada kumpulan berpendapatan rendah melalui iTEKAD

iTEKAD ialah program pembiayaan sosial campuran oleh bank-bank Islam yang menawarkan modal benih (seed capital), pembiayaan mikro dan latihan berstruktur kepada usahawan mikro dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana. Bagi mengembangkan lagi inisiatif tersebut untuk menggalakkan penyertaan yang lebih banyak daripada institusi kewangan, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan modal benih program tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my/covid19.

Pelanjutan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) dan pengecualian duti setem

Program PTV akan diteruskan pada tahun 2022, dengan penambahan nilai baucar daripada RM50 kepada RM75. Di bawah program ini, penerima B40 yang layak akan diberikan baucar yang boleh dibelanjakan untuk membeli produk Perlindungan Tenang daripada penanggung insurans dan pengendali takaful. Produk Perlindungan Tenang merupakan pelan insurans atau takaful asas yang mudah dan mampu dibayar. Untuk maklumat lanjut, sila layari mycoverage.my/perlindungan_tenang dan www.myptv.my bagi menyemak kelayakan mendapatkan baucar.

Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian duti setem untuk produk insurans dan takaful dengan premium/sumbangan tahunan kurang daripada RM150 bagi individu dan RM250 bagi PKS mikro.

Secara kolektif, semua langkah ini akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati liputan perlindungan yang lebih mampu dibayar.

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?