Bengkel Tahunan Penyelidikan Ekonomi Bank Negara Malaysia Yang Keempat - "Pasaran Perumahan: Isu dan Pilihan Dasar"
Bank Negara Malaysia (Bank) semalam mengadakan Bengkel Penyelidikan Ekonomi Yang Keempat di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Tema bengkel pada tahun ini ialah "Pasaran Perumahan: Isu dan Pilihan Dasar."
Persidangan ini telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada institusi kewangan, agensi kerajaan, pemaju harta tanah, ahli akademik dan kumpulan pemikir. Ia bertujuan untuk meneliti isu-isu utama dalam pasaran perumahan Malaysia, memanfaatkan penyelidikan yang sedang dijalankan ke atas kemampuan memiliki rumah, ketidakpadanan permintaan dan penawaran dan pendorong harga harta tanah.
Sebanyak enam kertas penyelidikan dibentangkan pada persidangan itu, dan diakhiri dengan dialog dasar mengenai keutamaan dan strategi untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada isi rumah Malaysia.
Beberapa dapatan utama telah terhasil daripada pembentangan dan perbincangan itu. Pertama, pendapatan dan pinjaman adalah penentu utama bagi harga rumah. Kedua-dua pemboleh ubah sangat berkait rapat memandangkan pendapatan adalah kriteria utama untuk akses kepada pembiayaan. Kedua, dalam tempoh 2013-2014, harga rumah agregat di Malaysia telah meningkat melebihi paras yang selaras dengan kestabilan makroekonomi dan asas-asas ekonomi negara. Langkah-langkah dasar yang disasarkan, termasuk kenaikan Cukai Keuntungan Harta Tanah dan langkah-langkah untuk mengekang skim pinjaman dan permodalan faedah tidak berhemat, berjaya menstabilkan harga dalam pasaran perumahan dengan berkesan pada tahun 2015. Ketiga, ketidakseimbangan perumahan menjadi ciri yang lebih jelas di lokasi dan segmen harga yang dipilih. Keadaan ini menyebabkan kemampuan memiliki rumah menjadi lebih sukar dan mendorong hutang isi rumah yang lebih tinggi dalam segmen ini.
Secara umum terdapat kesepakatan bahawa pertimbangan dasar bagi perumahan negara perlu menyeimbangkan matlamat untuk menyediakan perumahan kepada semua rakyat Malaysia pada tahap kualiti yang minimum dan pada masa yang sama membendung peningkatan ketidakseimbangan dalam pasaran perumahan.
Beberapa peserta telah mengingatkan bahawa krisis kewangan global pada tahun 2007 yang berpunca daripada pinjaman gadai janji subprima harus menjadi pengajaran penting terhadap faktor yang boleh meningkatkan risiko dalam pasaran perumahan dengan kesan yang jauh lebih ketara terhadap kestabilan kewangan dan makroekonomi. Meskipun isi rumah memerlukan akses kepada pinjaman untuk memiliki rumah, namun mereka tidak perlu menanggung beban hutang sehingga tidak mampu membayar balik pinjaman. Oleh itu, langkah-langkah dasar bagi memastikan akses kepada pinjaman perlu dilaksanakan dengan mengambil kira perlindungan bagi pembeli rumah daripada masalah kewangan yang menyebabkan perampasan rumah dan kebajikan yang terabai.
Beberapa pilihan dasar telah dibincangkan. Terdapat cadangan supaya alternatif yang lebih meluas diwujudkan bagi pemilikan rumah, termasuk pasaran sewa yang berfungsi dengan baik, dilaksanakan sebagai keutamaan dasar. Alternatif yang dicadangkan menekankan bahawa insentif yang tidak dirancang dengan baik untuk meningkatkan tahap pemilikan rumah akan memberikan kesan negatif terhadap kemampuan memiliki rumah pada tempoh yang lebih panjang. Cadangan ini turut memberikan cara yang berdaya maju bagi membantu individu berpendapatan rendah dan berada pada awal kerjaya untuk bersedia memiliki rumah kelak. Penguatkuasaan yang lebih baik juga penting bagi menghalang penyalahgunaan skim yang bertujuan membantu segmen isi rumah tertentu untuk memiliki atau menyewa rumah. Faktor-faktor yang mempengaruhi kecekapan pelarasan harga rumah juga diteliti. Perbincangan mengambil maklum bahawa insentif untuk meningkatkan pemilikan rumah perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya agar keberkesanan mekanisme pasaran yang berperanan untuk membetulkan ketidakseimbangan perumahan tidak terjejas. Keperluan untuk memastikan had harga yang bersesuaian diterima pakai bagi rumah mampu milik turut dibincangkan dengan mengambil maklum bahawa harga rumah terus berada di luar jangkauan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Bank Negara Malaysia menggalakkan lebih banyak penyelidikan dijalankan dalam bidang ini dan mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai. Agenda bengkel dilampirkan di sini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.