Berhati-hati dengan dakwaan yang mencurigakan tentang kemasukan dana bersaiz besar ke Malaysia yang memerlukan kelulusan agensi Kerajaan
Bank Negara Malaysia mengingatkan orang ramai agar berwaspada tentang dakwaan bahawa dana bersaiz besar tidak dapat dibawa masuk dari luar negara ke Malaysia oleh individu atau syarikat tanpa mendapat kelulusan daripada agensi Kerajaan terlebih dahulu. Dakwaan ini bertujuan untuk memperdaya dan meyakinkan orang ramai supaya mereka menyertai urus niaga yang menjanjikan pulangan yang lumayan ini.
Malaysia mengamalkan dasar terbuka bagi memudahkan kemasukan pelaburan asing. Bank Negara Malaysia dan juga agensi Kerajaan lain tidak mengenakan apa-apa sekatan terhadap pelabur asing yang ingin membuat pelaburan di Malaysia dalam sebarang bentuk aset ringgit.
Di bawah ini diberikan beberapa panduan yang boleh membantu orang ramai mengenal pasti urus niaga yang mencurigakan:
- Tidak mempunyai dokumen sah bagi membuktikan kesahihan butiran kemasukan dana dari luar negara;
- Tiada atau kurang maklumat umum berkaitan dengan sumber dana yang bersaiz besar itu;
- Dakwaan bahawa agensi Kerajaan menyekat dana tersebut, antaranya disebabkan oleh masalah kod SWIFT atau sedang menunggu kelulusan kiriman wang; atau
- Dakwaan oleh individu atau syarikat bahawa urus niaga itu disokong oleh pegawai atasan agensi Kerajaan untuk meyakinkan orang ramai tentang kesahihan urus niaga tersebut.
Bank Negara Malaysia menasihati orang ramai supaya membuat penilaian yang wajar sebelum terlibat dalam urus niaga atau pelaburan sedemikian bagi mengelakkan kerugian wang ringgit.
Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1300-88-5465 atau e-mel kepada [email protected] untuk membuat laporan atau pertanyaan tentang kes-kes yang meragukan atau mencurigakan.
Klik di sini untuk melihat contoh surat urus niaga yang mencurigakan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.