Berwaspada dengan Lesen Pemberian Pinjaman Wang Palsu yang Kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
06 Dis 2017 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (Bank) ingin mengingatkan orang ramai mengenai modus operandi aktiviti pemberian pinjaman wang haram yang dijalankan oleh mereka yang menggunakan lesen pemberian pinjaman wang palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Bank baru-baru ini.

Tujuan penipu ini adalah untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai bahawa mereka ialah pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai untuk membuat pembayaran awal bagi pelbagai tujuan yang berkaitan dengan pinjaman seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

Kegiatan penipuan ini dijalankan melalui laman sesawang, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain.

Bank ingin memaklumkan bahawa Bank tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bank juga ingin menggesa semua mangsa penipuan kewangan di atas untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bagi memudahkan siasatan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana orang atau pihak yang mendakwa bahawa mereka diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia. Mereka dinasihati supaya merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia sebelum menjalankan apa-apa urus niaga perniagaan atau pelaburan.

Senarai institusi boleh didapati melalui www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh menghubungi atau melawat:

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faks: (03) 2174 1515
E-mel: [email protected]

Untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan, taip 15888
BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda]

BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Blok D, Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9:00 pagi - 5:00 petang)

Atau melawat cawangan BNMLINK di Bank Negara Malaysia Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching


Bank Negara Malaysia
06 Disember 2017

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?