BIS dan rakan-rakan bank pusat mengkaji protokol penerapan pematuhan dasar dan pengawalseliaan dalam transaksi rentas sempadan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1400 pada Khamis, 5 Oktober 2023
05 Okt 2023 Siaran Akhbar
  • Projek Mandala bertujuan untuk mengautomasikan prosedur pematuhan, menyediakan pemantauan transaksi secara masa nyata serta meningkatkan ketelusan dan kebolehlihatan (visibility) dasar-dasar khusus bagi sesebuah negara.
  • Projek ini mengkaji kebolehlaksanaan untuk memasukkan keperluan dasar dan pengawalseliaan ke dalam protokol umum (common protocol).
  • Projek Mandala merupakan kerjasama antara BIS Innovation Hub (BISIH) Singapore Centre, Reserve Bank of Australia (RBA), Bank of Korea (BOK), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS), serta institusi kewangan.

Pada hari ini, Bank for International Settlements (BIS) dan rakan-rakan bank pusat telah melancarkan Projek Mandala. Projek ini mengkaji kebolehlaksanaan untuk memasukkan keperluan pengawalseliaan dan dasar khusus bagi sesebuah negara ke dalam protokol umum untuk kegunaan transaksi rentas sempadan seperti pelaburan langsung asing, peminjaman dan pembayaran.

Rangka kerja dasar dan pengawalseliaan yang berbeza antara negara yang berlainan merupakan antara halangan utama bagi memastikan pembayaran rentas sempadan yang lancar dan cekap. Hal ini menyumbang kepada beban pematuhan pengawalseliaan merentas rantaian pembayaran, meningkatkan masa transaksi rentas sempadan dan menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pihak berkepentingan.

Projek Mandala, iaitu pembuktian konsep yang dijalankan oleh BISIH Singapore Centre, RBA, BOK, BNM dan MAS dengan kerjasama institusi kewangan, bermatlamat untuk mengurangkan beban pematuhan dasar dan pengawalseliaan. Matlamat ini dicapai melalui automasi prosedur pematuhan, penyediaan pemantauan transaksi secara masa nyata serta peningkatan ketelusan dan kebolehlihatan berhubung dengan dasar-dasar khusus bagi sesebuah negara.

Langkah-langkah tersebut bertujuan untuk menangani cabaran-cabaran utama yang dikenal pasti semasa pelaksanaan Projek Dunbar, iaitu projek yang membangunkan platform eksperimen bagi berbilang mata wang digital bank pusat (multiple central bank digital currency, mCBDC).

Reka bentuk rangka kerja pematuhan hampir automatik (compliance-by-design) yang dihasratkan ini dijangka membolehkan pemindahan rentas sempadan yang lebih cekap bagi sebarang aset digital termasuk CBDC dan deposit token. Rangka kerja ini juga boleh berfungsi sebagai lapisan pematuhan asas untuk sistem pembayaran borong atau runcit yang sedia ada dan baharu.

Langkah-langkah ini boleh merangkumi peraturan pertukaran asing yang boleh diukur dan dibentuk serta langkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (anti-money laundering and countering the financing of terrorism, AML/CFT).

Projek Mandala adalah selaras dengan tindakan utama Lembaga Kestabilan Kewangan (Financial Stability Board) bagi tahun 2023 untuk mencapai matlamat G20, iaitu mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan. Peningkatan adalah dari aspek menggalakkan persekitaran undang-undang, pengawalan dan penyeliaan yang cekap bagi transaksi pembayaran rentas sempadan serta pada masa yang sama mengekalkan keselamatan dan integriti transaksi tersebut.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Norhana Endut berkata, "BNM komited untuk memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap. Projek Mandala mampu mewujudkan peluang bagi transaksi rentas sempadan yang lebih lancar pada masa hadapan dan pada masa yang sama memastikan pematuhan pengawalseliaan dan keselamatan transaksi terus dikekalkan. Kami mengalu-alukan potensi projek ini, bukan sahaja untuk Malaysia malah untuk komuniti global."

Bank Negara Malaysia
5 Oktober 2023


Bank Negara Malaysia
05 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?