BIS Innovation Hub dan bank-bank pusat Australia, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan akan menguji penggunaan CBDC bagi penyelesaian antarabangsa
SIARAN MEDIA BERSAMA
- Projek Dunbar akan membangunkan prototaip platform yang dikongsi bersama bagi membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan mata wang digital yang dikeluarkan oleh pelbagai bank pusat.
- Sistem ini bertujuan untuk membolehkan transaksi secara terus antara institusi kewangan, mengurangkan kos dan transaksi dilakukan dengan cepat.
- Dapatan projek ini akan membantu membangunkan platform global dan serantau serta menyokong pelan hala tuju G20 untuk menambah baik proses pembayaran rentas sempadan.
Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank Negara Malaysia, Monetary Authority of Singapore, dan South African Reserve Bank akan bersama-sama menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (central bank digital currencies, CBDC) bagi penyelesaian antarabangsa.
Projek Dunbar, yang diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, membuat sasaran untuk membangunkan prototaip platform yang dikongsi bersama bagi transaksi rentas sempadan menggunakan pelbagai CBDC (multi-CBDC). Platform pelbagai CBDC ini akan membolehkan institusi kewangan melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain dalam mata wang digital yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta. Oleh itu, pihak pengantara tidak diperlukan serta masa dan kos transaksi dapat dikurangkan.
Projek ini melibatkan kerjasama pelbagai rakan kongsi bagi membangunkan prototaip teknikal pada platform teknologi lejar teragih yang berbeza-beza. Projek ini juga akan mengkaji reka bentuk tadbir urus dan operasi yang berlainan bagi membolehkan bank-bank pusat berkongsi infrastruktur CBDC serta mendapat manfaat daripada usaha sama antara pakar sektor awam dengan swasta daripada pelbagai bidang kuasa dan bidang operasi.
Projek Dunbar akan mengkaji dimensi antarabangsa reka bentuk CBDC dan menyokong usaha pelan hala tuju G20 untuk menambah baik proses pembayaran rentas sempadan. Hasil kajian yang akan diterbitkan pada awal 2022 dapat membantu membangunkan platform masa depan bagi penyelesaian global dan serantau. Prototaip teknikal bagi platform yang dikongsi bersama ini dibangunkan dengan kerjasama beberapa rakan teknologi. Demonstrasi prototaip akan diadakan di Singapore Fintech Festival pada bulan November 2021.
Andrew McCormack, Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, berkata, "Projek Dunbar menghimpunkan bank-bank pusat yang berpengalaman luas dan mempunyai pandangan unik dalam projek CBDC dan rakan kongsi ekosistem yang berada pada peringkat lanjutan pembangunan teknikal mata wang digital. Bersama-sama dengan kumpulan rakan kongsi yang berkebolehan dan bersemangat ini, kami yakin bahawa usaha kami berhubung dengan pelbagai CBDC bagi penyelesaian antarabangsa ini akan mencapai kemajuan dalam usaha penyelidikan CBDC pada peringkat yang seterusnya dan membina asas bagi kesalinghubungan pembayaran global."
"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan BIS Innovation Hub dan rakan kongsi bank pusat bagi inisiatif penting ini untuk mengkaji cara platform pelbagai CBDC boleh digunakan bagi mengurangkan kos, meningkatkan ketelusan dan mempercepatkan transaksi borong rentas sempadan. Inisiatif untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan kini menjadi keutamaan bagi komuniti pengawalseliaan antarabangsa dan juga merupakan fokus utama kami dalam pembentukan dasar dalam negeri," kata Michele Bullock, Penolong Gabenor (Sistem Kewangan), Reserve Bank of Australia.
Penolong Gabenor Fraziali Ismail, Bank Negara Malaysia, pula berkata, "Platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama dan dikaji melalui Projek Dunbar berpotensi untuk melangkaui pengaturan pembayaran legasi dan menjadi asas kepada platform penyelesaian antarabangsa yang lebih cekap. Kami berharap projek ini akan memacu lebih banyak kerjasama awam-swasta bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan yang cepat dan lancar, dengan menggabungkan manfaat teknologi lejar teragih dan kecekapan platform yang dikongsi bersama."
"Usaha Projek Dunbar yang menggunakan platform pelbagai CBDC bagi membantu pemindahan dana pelbagai mata wang yang lancar merupakan sumbangan penting projek ini kepada visi global untuk mewujudkan pembayaran yang lebih murah dan pantas. Dapatan berhubung dengan cara platform yang dikongsi bersama ini dapat ditadbir secara berkesan dan diuruskan dengan cekap akan membentuk rangka tindakan sistem pembayaran generasi akan datang," kata Sopnendu Mohanty, Ketua Pegawai FinTech, Monetary Authority of Singapore.
"Setelah menjalankan kajian pada peringkat domestik selama beberapa tahun, kami gembira melihat pandangan yang sama turut berkembang pada peringkat antarabangsa berhubung dengan keperluan untuk mengkaji pembayaran CBDC rentas sempadan dan perkhidmatan saling boleh kendali. Khususnya, kami begitu teruja untuk mengambil bahagian dalam Projek Dunbar kerana SARB juga memainkan peranan mengendalikan sistem penyelesaian borong serantau dalam Komuniti Pembangunan Afrika Selatan," kata Timbalan Gabenor Rashad Cassim, South African Reserve Bank.

Bank Negara Malaysia
BIS Innovation Hub
Monetary Authority of Singapore
Reserve Bank of Australia
South African Reserve Bank
2 September 2021
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.