BNM akan menjadi tuan rumah bersama AML/CFT Hackathon 2023 bagi membanteras jenayah kewangan
Bank Negara Malaysia menjadi tuan rumah bersama dengan Financial Intelligence Consultative Group (FICG) untuk menganjurkan Anti Money Laundering/Counter Financing of Terrorism Hackathon 2023 (AML/CFT Hackathon 2023). Acara yang akan berlangsung dari 1 Jun hingga 28 Jun 2023 ini bertujuan untuk membangunkan penyelesaian digital bagi menangani jenayah kewangan.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar, berkata: “Cabaran global memerlukan penyelesaian global. Jenayah kewangan merupakan isu global dan kita semua mempunyai peranan dalam usaha mengekalkan integriti sistem kewangan. Kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama jangka panjang dengan FICG, yang termasuk mencari penyelesaian kreatif daripada individu berbakat dari seluruh dunia bagi membendung jenayah kewangan.”
AML Hackathon 2023, yang akan diadakan secara dalam talian turut menyediakan bengkel dan bimbingan (mentoring) daripada sekumpulan pakar keselamatan siber dan AML/CFT untuk para peserta. Peserta akan bekerja secara berkumpulan untuk membangunkan penyelesaian prototaip digital yang inovatif terhadap penyataan masalah khusus yang dikenal pasti oleh penganjur, yang mencerminkan kesukaran sebenar yang dihadapi oleh dunia dalam usaha membanteras isu jenayah kewangan yang serius pada hari ini. Penyelesaian ini akan dinilai berdasarkan tiga trek yang berasingan bagi kategori peserta yang berbeza: sektor awam (contohnya, agensi penguatkuasaan undang-undang), sektor swasta (contohnya, institusi pelaporan, syarikat fintech) dan kategori terbuka (contohnya, pembangun perisian/aplikasi bebas, pelajar).
Peserta berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga USD5,000 serta peluang untuk membentangkan prototaip mereka kepada pegawai kanan perisikan kewangan dari seluruh dunia.
AML/CFT Hackathon 2023 pada tahun ini merupakan anjuran kali yang ketiga selepas Bank Negara Malaysia bersama-sama Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC) menganjurkan International Financial Intelligence Units Codeathon buat pertama kalinya pada tahun 2017. Acara tersebut kemudiannya disusuli oleh ASEAN-Australia Codeathon yang dianjurkan pada tahun 2018. Prototaip yang dibangunkan, termasuk antara lain penambahbaikan pematuhan AML/CFT dan pelaporan isu yang mencurigakan dengan menerapkan kecerdasan buatan.
Mereka yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar di laman sesawang amlhackathon.com/ sebelum 28 Mei 2023. Ketahui perkembangan terkini dengan mengikuti laman Facebook AML Hackathon 2023 melalui pautan facebook.com/amlhackathon.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.