BNM memberi semula lesen kepada Bank of China
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan keputusan memberi kebenaran kepada Bank of China (BOC) untuk memulakan semula operasi mereka di Malaysia berkuatkuasa 1 Ogos 2000.
Pemberian semula lesen perbankan kepada BOC dibuat di dalam situasi yang khusus dan ia memenuhi asas-asas berikut:
BOC pernah beroperasi di Malaysia sebelum ini dan telah menyerahkan lesennya yang terdahulu berikutan keperluan undang-undang yang melarang sesebuah bank yang dikuasai oleh mana-mana kerajaan asing daripada memegang sebarang lesen perbankan di Malaysia. Larangan tersebut kini telah dimansuhkan ekoran pindaan yang dibuat terhadap Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 pada tahun 1996.
BOC mula beroperasi di Malaya sejurus selepas Perang Dunia II dengan cawangan-cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Operasi bank tersebut dihentikan apabila Ordinan Perbankan 1958 dikuatkuasakan. Ordinan yang berkenaan menetapkan bahawa mana-mana bank yang dikuasai oleh kerajaan asing adalah dilarang daripada memegang sebarang lesen perbankan di Malaysia. Larangan tersebut turut termaktub di dalam Seksyen 14 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 tetapi telah dimansuhkan pada 2 Ogos 1996.
Dengan penubuhan semula BOC di Malaysia, adalah diharapkan hubungan dua hala dan perdagangan di antara Malaysia dengan Republik Rakyat China akan terus diperkukuhkan lagi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.