BNM membolehkan penyelesaian pembayaran antara bank sepanjang masa dengan RENTAS+

07 Okt 2025 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan RENTAS+, satu penambahbaikan kepada RENTAS, iaitu sistem penyelesaian pukal masa nyata (real time gross settlement, RTGS) Malaysia.

RENTAS+ yang dibangunkan oleh sumber dalaman BNM dan menggunakan teknologi awan moden membolehkan pemindahan dana dan penyelesaian antara bank secara berterusan, 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. RENTAS merupakan sistem RTGS pertama dalam kalangan negara ASEAN yang beroperasi sebegini.

Pengembangan RENTAS menerusi penyelesaian transaksi pembayaran runcit secara berterusan ini membolehkan institusi kewangan untuk menguruskan secara lebih baik risiko kredit dan risiko penyelesaian yang timbul berikutan perkembangan pesat pembayaran runcit segera. Sejak tahun 2024, jumlah dan nilai transaksi pembayaran runcit harian telah meningkat masing-masing sebanyak 49% dan 22%.

Bagi membantu penyelesaian sepanjang masa ini, BNM turut memperkenalkan kemudahan mudah tunai automatik 24 jam sehari, 7 hari seminggu, menggunakan perjanjian belian balik (repurchase agreements, repo) dan perjanjian jual dan beli balik (sell and buy back agreements, SBBA).

Sebelum RENTAS+, pembayaran runcit diselesaikan dua kali sehari pada asas bersih tertunda. Walaupun cekap, penyelesaian bersih tertunda mempunyai risiko kredit dan risiko penyelesaian yang sedia ada kerana dedahan kredit antara bank hanya terlangsai dua kali sehari. Kebanyakan risiko ini diatasi dengan RENTAS+ kerana transaksi DuitNow (yang merangkumi pemindahan dana, pembayaran QR, dan pembayaran e-dagang) kini diselesaikan pada asas pukal. Dalam hal ini, Payments Network Malaysia (PayNet) menghantar transaksi DuitNow kepada RENTAS+ untuk proses penyelesaian selepas setiap transaksi pelanggan selesai.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, "Pelancaran RENTAS+ menandakan pencapaian penting dalam rancangan pemodenan berbilang tahun untuk RENTAS. RENTAS+ mengukuhkan daya tahan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia, sambil menyediakan platform penyelesaian yang selamat, mampu diperluas dan fleksibel untuk menjalankan inovasi pada masa hadapan. Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen BNM untuk meletakkan RENTAS sebagai pemangkin dan penggerak inovasi dalam pasaran kewangan."

RENTAS, atau “Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities”, ialah sistem RTGS Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1999. Pada tahun 2024, RENTAS telah menyelesaikan transaksi bernilai RM73.63 trilion, yang bersamaan dengan 45 kali KDNK Malaysia. RENTAS juga merupakan depositori sukuk terbesar di dunia dengan pegangan USD300 bilion sukuk, yang juga merupakan satu daripada lima depositori bon terbesar di Asia.

 

Lihat juga: Kertas Strategi Pemodenan RENTAS


Bank Negara Malaysia
07 Oktober 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?