BNM Memperkenalkan Rangka Kerja Baru Kadar Faedah

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Jumaat, 23 April 2004
23 Apr 2004 Siaran Akhbar
  1. Pada hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengenalan rangka kerja baru kadar faedah. Rangka kerja baru kadar faedah ini merupakan perubahan kepada sistem pelaksanaan dasar monetari dan menggalakkan penentuan harga produk pasaran yang lebih efisien oleh institusi perbankan. Ia bukan merupakan perubahan ke atas dasar monetari. Dengan itu, pengenalan rangka kerja baru ini dijangka tidak akan menyebabkan berlaku sebarang perubahan kepada paras keseluruhan kadar faedah dalam negeri.
     
  2. Peralihan kepada rangka kerja baru ini adalah tepat pada masa ini, memandangkan persekitaran ekonomi dan kewangan yang baik dan infrastruktur kewangan yang lebih maju. Persekitaran ini memberi peluang terbaik bagi peralihan yang lancar dan efisien kepada rangka kerja baru. Ia juga diperkukuhkan lagi dengan pertambahan ketelusan, peningkatan kesedaran pengguna dan penambahan saluran kepada pelanggan bagi mendapatkan pembelaan.
     
  3. Rangka kerja baru ini dibentuk bagi mempertingkatkan keberkesanan dasar monetari dengan memudahkan penghantaran perubahan ke atas kadar faedah dasar kepada kadar faedah pasaran yang lain dan akhirnya, kepada objektif utama makro ekonomi. Ia dicapai dengan memilih kadar faedah dasar yang berkait rapat dengan kadar faedah lain dan melalui beberapa perubahan tertentu dalam prosedur operasi monetari BNM.
     
  4. Rangka kerja baru ini juga akan meningkatkan keberkesanan operasi pasaran kewangan dan dengan itu, memudahkan penentuan harga yang lebih cekap dan berkesan ke atas produk kewangan. Pertumbuhan pesat produk-produk yang berstruktur dan mengikut pesanan memerlukan penentuan harga terbeza. Dengan itu, penentuan harga secara am meliputi keseluruhan spektrum produk perbankan tidak lagi sesuai. Sistem dan garis panduan telah diperkenalkan untuk melahirkan persekitaran yang akan memastikan penentuan harga yang adil dan saksama.


    Prosedur Operasi Monetari Baru
  5. Ciri-ciri utama prosedur operasi monetari baru adalah seperti berikut:
    a) Kadar Dasar Semalaman
    Kadar Dasar Semalaman (KDS) akan menjadi penunjuk kepada teras dasar monetari. KDS akan memainkan dua peranan – sebagai alat isyarat untuk mempamerkan teras dasar monetari dan sebagai kadar sasaran operasi mudah tunai harian Bank Pusat. Sebarang perubahan ke atas teras dasar monetari akan diisyaratkan dengan pertukaran pada paras KDS. Ia juga akan bertindak sebagai kadar rujukan utama dalam penentuan kadar faedah pasaran yang lain. Bagi mencerminkan teras dasar monetari yang tidak berubah, KDS akan ditetapkan pada paras semasa kadar semalaman antara bank, iaitu 2.70%.

    b) Kadar Semalaman sebagai sasaran operasi tunggal
    Operasi monetari BNM akan menjadikan kadar faedah semalaman antara bank sebagai sasaran. Pengurusan mudah tunai akan dihalakan untuk memastikan kedudukan mudah tunai adalah bersesuaian, serta akan mempengaruhi kadar semalaman antara bank untuk bergerak hampir kepada KDS. Operasi mudah tunai juga dilaksanakan pada tempoh matang yang lain, tetapi tanpa mensasarkan kepada paras kadar faedah tertentu. Dengan itu, kadar faedah antara bank bagi tempoh matang yang lain ditentukan oleh pasaran, yang mencerminkan keadaan keseluruhan permintaan dan penawaran dalam pasaran wang serta jangkaan kadar faedah.

    c) Pengenalan Koridor Operasi Kadar Semalaman (Overnight Operating Corridor) dan Kemudahan Tersedia (Standing Facilities)
    Bagi meminimumkan volatiliti kepada kadar semalaman, BNM akan menetapkan koridor pada lingkungan KDS. Koridor tersebut ditetapkan ±25 mata asas pada lingkungan KDS. Operasi mudah tunai harian bertujuan untuk mengekalkan kadar semalaman pasaran hampir kepada paras sasaran KDS yang telah diumumkan. Kemudahan Tersedia diperkenalkan bagi memastikan kadar faedah semalaman antara bank bergerak dalam lingkungan koridor dengan menyediakan kemudahan pinjaman pada had atas jalur operasi dan kemudahan deposit pada had bawah jalur operasi. Bagi memenuhi keperluan mudah tunai jangka pendek mereka, peserta pasaran akan menjalankan urus niaga sesama institusi antara bank pada kadar yang berada dalam lingkungan jalur operasi tersebut, sebelum mereka mula menggunakan Kemudahan Tersedia.

     

    Baki kedudukan lebihan atau kekurangan mudah tunai semalaman akan dipenuhi oleh Kemudahan Tersedia daripada Bank Pusat. Dengan KDS ditetapkan pada 2.70%, had atas akan berada pada 2.95% dan had bawah pada 2.45%. Kemudahan Tersedia adalah terbuka kepada semua institusi antara bank atas permintaan mereka.

    d) Perubahan KDS akan diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari
    Sebarang perubahan ke atas paras KDS akan diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari (PDM). PDM diterbitkan mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi setiap suku tahunan dan diumumkan serentak dengan pengumuman prestasi KDNK suku tahunan. Di antara jadual yang ditetapkan tersebut, PDM tambahan akan diterbitkan jika berlaku sebarang perubahan ke atas dasar monetari.



    Kadar Pinjaman dan Deposit
    a) Kadar Pinjaman
  6. Di bawah rangka kerja baru, setiap institusi perbankan akan mengumumkan Kadar Berian Pinjaman Asas (BLR) masing-masing berdasarkan struktur kos dana dan strategi perniagaan mereka. Institusi perbankan tidak lagi tertakluk kepada had tebaran maksimum di atas BLR sebanyak 2.5 mata peratusan. Langkah ini bertujuan menggalakkan penentuan harga yang lebih efisien bagi pelbagai spektrum produk yang ditawarkan.
     
  7. BNM akan terus memantau kadar pinjaman yang dikenakan oleh institusi perbankan. Bagi memastikan penentuan harga yang adil dan saksama, pelbagai langkah yang selari telah pun dilaksanakan bagi menjamin kepentingan pengguna. Langkah-langkah ini termasuk mengenakan standard pendedahan minimum dan menyediakan mekanisme kepada pengguna untuk mendapatkan pembelaan. Ia diperkukuhkan lagi dengan program pendidikan pengguna selama 10 tahun dan peningkatan pemantauan ke atas sektor kewangan oleh Bank Negara Malaysia.
     
  8. Seterusnya, bagi memastikan sektor-sektor tertentu terus mendapat akses kepada pembiayaan pada kos yang munasabah, kadar pinjaman yang ditetapkan di bawah inisiatif berikut akan dikekalkan:
    • Dana Khas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menyediakan pembiayaan kepada PKS dengan kadar pinjaman yang lebih rendah daripada kadar pasaran, iaitu antara 3.75% dan 5%;
    • Garis Panduan Pinjaman kepada Sektor Keutamaan, yang mengenakan had maksimum ke atas kadar pinjaman bagi pinjaman perumahan yang diambil oleh golongan berpendapatan rendah untuk pembelian rumah berharga RM180,000 ke bawah. Kadar maksimum semasa ditetapkan pada BLR+1.75% atau 9%, yang mana lebih rendah; dan
    • Garis Panduan ke atas Operasi Kad Kredit yang menetapkan kadar pinjaman maksimum ke atas pinjaman kad kredit sebanyak 18%.
    Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga mempunyai Unit Khas PKS bagi membantu PKS yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan.
     
  9. Langkah tambahan yang akan diperkenalkan termasuk:
    1. Peningkatan keperluan ketelusan dan pendedahan produk:
      • Untuk memudahkan para pelanggan membuat keputusan yang yang lebih bernas, institusi perbankan dikehendaki mendedahkan maklumat penting mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Keperluan ini, antara lain, merangkumi maklumat berkaitan kadar pinjaman, fi dan caj, serta maklumat berkenaan risiko berkaitan sesuatu produk kewangan dan perkhidmatan.
      • Satu “Jadual Perbandingan” akan diperkenalkan dalam laman web Bankinginfo bagi membantu para pelanggan bank dalam membuat perbandingan ke atas kadar faedah bagi produk perbankan.
    2. Memperkukuhkan infrastruktur pembelaan pengguna
      • Mekanisme pembelaan pengguna yang sedia ada akan diperkukuhkan dengan penubuhan Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) yang akan berfungsi sebagai pusat bagi menyelesaikan pelbagai isu pelanggan runcit yang diutarakan terhadap institusi kewangan yang dikawalselia oleh BNM. BPK akan mempunyai rangkaian cawangan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatannya ke seluruh negara.


    b) Kadar deposit
  10. Kadar faedah minimum deposit tetap bagi tempoh matang antara 1 dan 12 bulan, dengan simpanan RM1 juta ke bawah ditetapkan pada kadar semasa iaitu sebanyak 3% bagi tempoh matang 1 bulan dan 3.70% untuk tempoh matang 12 bulan. Penetapan kadar faedah minimum bagi deposit tetap ini adalah perlu bagi memastikan para pendeposit mendapat pulangan benar yang positif.


    Kesimpulan
  11. Perubahan-perubahan yang diperkenalkan di atas akan memastikan peningkatan kecekapan dalam pelaksanaan dasar monetari dan penentuan harga yang lebih efisien dalam sistem perbankan. Rangka kerja baru ini diperkenalkan ketika teras dasar monetari tidak memerlukan perubahan untuk tempoh terdekat ini.

Bank Negara Malaysia
23 April 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?