BNM Menerbitkan "Buku Wang Saku" Dan "Buku Perancangan Dan Penyata Kewangan Keluarga" Bagi Tahun 2003

Embargo: Untuk siaran segera
16 Dis 2002 Siaran Akhbar

bws_2003Sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan perancangan kewangan dan pengurusan kewangan peribadi, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan "Buku Wang Saku" dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" bagi tahun 2003. Kedua-dua buku tersebut merupakan terbitan siri kelima yang mana siri yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 1999.

"Buku Wang Saku" adalah disasarkan khusus kepada pelajar sekolah. Tema buku tersebut bagi tahun ini ialah "Buku Wang Saku, Pemangkin Gerak Kerja Kelab Kewangan Pelajar." Melalui penggunaan Buku Wang Saku dan aktiviti Kelab Kewangan Pelajar, tabiat pengurusan kewangan peribadi yang bijak di kalangan pelajar-pelajar dapat dipertingkatkan. Antara ciri-ciri terbaru Buku Wang Saku tahun 2003 ialah ilustrasi aktiviti-aktiviti Kelab Kewangan Pelajar serta beberapa permainan mengenai pengurusan kewangan.

"Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2003 pula adalah disasarkan khusus kepada golongan berkeluarga bagi membantu mereka menguruskan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan. Satu bahagian dalam buku ini memaparkan konsep "perancangan dan perbajetan" dalam pengurusan kewangan keluarga.

Kedua-dua buku kini boleh didapati di Muzium Matawang BNM, Kuala Lumpur; cawangan-cawangan BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; Kedai Pos 2020 dan kedai-kedai buku terpilih. Buku-buku tersebut juga boleh didapati di bank-bank perdagangan mulai bulan Januari 2003.

"Buku Wang Saku" 2003 telah diilustrasikan oleh Y.Bhg. Dato' Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Dato' Lat. Buku-buku tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah melalui bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad di bawah Program Sekolah Angkat.


Bank Negara Malaysia
16 Disember 2002

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?