BNM Menerbitkan Laporan Tahunan 2025, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025 (TKK ST2 2025).
LT 2025 menyorot inisiatif utama BNM pada tahun 2025 dalam melaksanakan mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Laporan itu turut memberikan maklumat tentang operasi bank pusat yang lebih meluas. Sementara itu, TEM 2025 menyediakan penilaian dan unjuran ekonomi oleh BNM yang merangkumi perkembangan ekonomi dan monetari pada tahun 2025 serta prospek bagi tahun 2026. TKK ialah penerbitan dwitahunan yang memperincikan penilaian BNM terhadap risiko dan prospek kestabilan kewangan domestik.
Sorotan laporan:
- Pada tahun 2025, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2%, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
- Perbelanjaan isi rumah kekal utuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah dasar yang lebih bersasar.
- Aktiviti pelaburan meningkat dengan kukuh, didorong oleh kemajuan berterusan projek pelbagai tahun dan kelulusan pelaburan yang mantap, terutamanya dalam perkhidmatan berteknologi tinggi dan perkilangan termaju.
- Inflasi berpurata pada 1.4%, iaitu pada kadar paling rendah dalam tempoh lima tahun. Walau bagaimanapun, kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan. Rencana LT 2025 bertajuk “'Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah” menerangkan pengalaman orang ramai sehari-hari tentang harga yang boleh berbeza daripada data inflasi rasmi. Pengalaman ini terus berguna sebagai penunjuk untuk membantu membuat keputusan dasar.
- Dalam keadaan landskap global yang mencabar dan tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun 2026. Malaysia memasuki tempoh mencabar ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang mantap dan kedudukan luaran yang berdaya tahan. BNM akan terus berwaspada terhadap konflik Timur Tengah yang semakin meruncing.
- Dengan pemacu pertumbuhan yang pelbagai, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan serta kedudukan yang selamat dalam kitaran teknologi, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani cabaran dan risiko pada masa hadapan.
- Penggunaan isi rumah kekal sebagai teras pertumbuhan yang penting. Prospek pendapatan yang positif, pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang bersasar akan mengekalkan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan. Rencana TEM 2025 “Mengekalkan Enjin Pertumbuhan: Evolusi Pemacu yang Mendorong Pertumbuhan Penggunaan Swasta di Malaysia” mengupas isu ini.
- Aktiviti pelaburan akan terus berkembang, meskipun pada kadar yang lebih sederhana.
- Sektor luaran dijangka kekal berdaya tahan terhadap rintangan daripada konflik Timur Tengah dan ketidaktentuan berhubung dengan tarif. Sektor E&E dijangka mendapat manfaat daripada permintaan semikonduktor yang kukuh yang menyokong perkembangan AI serta pelaburan pusat data yang terus direalisasikan. Rencana TEM 2025 “Merungkai Rantaian Nilai Malaysia dalam Era Ketidaktentuan” mengupas topik ini. Pelancongan ke dalam negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 juga akan menyokong sektor luaran.
- Inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 1.5% hingga 2.5%, terkawal dan hampir pada purata jangka panjangnya.
- Keadaan monetari dan kewangan dalam negeri akan kekal menyokong keperluan kewangan dalam keadaan pengembangan ekonomi yang berterusan.
- Dasar monetari akan terus memberikan tumpuan pada usaha mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama memelihara keadaan yang menyokong pertumbuhan mampan.
- Sistem kewangan berdaya tahan untuk menyokong ekonomi menghadapi persekitaran global yang tidak menentu. Usaha juga diteruskan untuk mengukuhkan dan membangunkan lagi sektor kewangan.
- Kestabilan kewangan terus dipelihara. Permodalan institusi kewangan kukuh dan operasinya berdaya tahan, disokong oleh penampan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dan kualiti aset yang kukuh. Sistem pembayaran dan penyelesaian Malaysia kekal boleh dipercayai dan selamat.
- Ujian tekanan kesolvenan makro, yang menggabungkan risiko penurunan utama, mengesahkan daya tahan institusi kewangan terhadap kejutan makroekonomi dan kewangan yang serius.
- Sektor kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi. Pembiayaan terkumpul kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat 5.9% pada tahun 2025. Kelulusan dan pengeluaran pembiayaan kekal stabil dan meluas merentas sektor, menunjukkan akses kepada pembiayaan yang berterusan.
- Pembaharuan telah dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan dan daya tahan pengguna dalam sektor kewangan, seperti penggubalan Akta Kredit Pengguna, semakan kepada Akta Sewa Beli, pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 serta pengenalan inisiatif RESET yang diselaraskan bersama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
- Platform dan inisiatif seperti Hab Inovasi Aset Digital, Makmal Inovasi Kewangan Iklim dan program i-CITA dibangunkan untuk menyokong penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan ekonomi dan masyarakat secara langsung. Kemajuan selanjutnya juga telah dicapai untuk menerapkan daya tahan iklim institusi kewangan dan pelanggan mereka.
- Bank-bank sedang meningkatkan usaha untuk merapatkan jurang perkhidmatan kepada segmen yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Baca lebih lanjut mengenai perkara ini dengan lebih lanjut dalam rencana LT 2025 “Merapatkan Jurang: Perkhidmatan Perbankan Asas pada Kos yang Berpatutan dan Mudah Diakses”.
- Dalam bidang kewangan Islam, industri terus memajukan kewangan berasaskan nilai yang memberikan impak dan hasil sosioekonomi positif. Rencana LT 2025 “Perkembangan Kewangan Islam di ASEAN: Merealisasikan Potensi Pertumbuhannya” menyerlahkan peluang yang semakin meningkat dan potensi kewangan Islam untuk memacu hasil ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini.
- Susulan Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 yang memasuki fasa akhir, usaha sedang dijalankan untuk menentukan hala tuju fasa sektor kewangan Malaysia yang seterusnya.
- Usaha untuk membanteras penipuan kewangan terus dipergiat. Usaha untuk memperkukuh sistem pertahanan semakin membuahkan hasil, dengan beberapa bank melaporkan tiada kes perisian hasad pada tahun 2025. Pendekatan seluruh negara kekal penting untuk melindungi komuniti yang mudah terjejas daripada penipuan yang semakin berkembang. Baca lebih lanjut tentang usaha ini dalam rencana LT 2025 “Penyelesaian bagi Penipuan: Memupuk Keyakinan Melalui Tanggungjawab Bersama”.
- Komitmen bersama dan keazaman kolektif ASEAN merupakan teras keyakinan, menyokong kegiatan ekonomi dan menyediakan persekitaran serantau yang lebih stabil. Rencana LT 2025 “Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN/ASEAN+3 pada Tahun 2025: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan bagi ASEAN dan Malaysia” menyerlahkan cara integrasi yang lebih mendalam dan peluang yang dikongsi bersama boleh memberikan manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.
- Malaysia ditempatkan dalam kategori tertinggi iaitu “Regular Monitoring” oleh Financial Action Task Force (FATF). Pencapaian ini merupakan pengesahan yang penting terhadap rejim pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan negara yang mantap dan bertambah baik.
- LT 2025 juga termasuk Penyata Kewangan BNM yang Diaudit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025. Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, jumlah aset BNM berjumlah RM602.22 bilion. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM12.45 bilion telah dicatatkan dan RM7.45 bilion daripadanya telah dipindahkan ke Rizab Risiko BNM. BNM mengisytiharkan dividen sebanyak RM5 bilion kepada Kerajaan bagi tahun kewangan 2025.
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Ekonomi Malaysia berdaya tahan, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2% pada tahun 2025 meskipun persekitaran luaran sangat mencabar. Keadaan ekonomi, monetari dan kewangan dalam negeri yang stabil telah membantu mengurangkan kesan kejutan luaran dan membuka jalan untuk pembaharuan penting dilaksanakan. Kita perlu terus mengukuhkan asas-asas ekonomi dan penampan dasar untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik bagi menghadapi rintangan semasa dan pada masa hadapan. Meskipun persekitaran terus berubah, komitmen BNM masih berteraskan pada usaha untuk terus melaksanakan mandat yang diamanahkan bagi membina masa hadapan yang lebih cerah untuk seluruh rakyat Malaysia."
Untuk membaca semua penerbitan, sila layari bnm.gov.my/AR2025.
Lihat juga:


Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.