BNM mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap BSB Darussalam Sdn. Bhd. berikutan ketidakpatuhan pada Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Rabu, 23 Oktober 2024
23 Okt 2024 Notis Umum

Pada 28 Ogos 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM30,600 terhadap BSB Darussalam Sdn. Bhd. (BDSB) kerana tidak mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan (customer due dilligence, CDD) di bawah seksyen 74 dan 75(1)(b) Akta Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), dibaca bersama dengan perenggan 14C.4(a) dan 14C.12.1 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs).

BNM telah mengesan ketidakpatuhan terhadap keperluan CDD ini semasa pemeriksaan di lokasi. BDSB gagal untuk melaksanakan CDD ke atas tiga pelanggan berkaitan dengan transaksi pertukaran wang melebihi RM3,000, dengan tindakan kakitangan BDSB yang secara sengaja membahagikan transaksi kepada beberapa amaun yang kurang daripada nilai yang ditetapkan bagi pelaksanaan CDD.

Institusi pelaporan (reporting institutions, RI) dikehendaki melaksanakan CDD ke atas pelanggan bagi membolehkan RI menilai dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML)/pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF) serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah RI daripada menjadi saluran yang memudahkan ML/TF serta aktiviti jenayah serius yang lain.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

  1. tahap kesalahan individu dalam syarikat yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
  2. keberkesanan kawalan sedia ada untuk mengesan dan mencegah ketidakpatuhan;
  3. rekod pematuhan BDSB pada masa lalu; dan
  4. tindakan pemulihan yang diambil oleh BDSB untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang. Hal ini termasuk tindakan untuk mengukuhkan lagi proses pemantauan pematuhan dan tindakan yang diambil untuk memberikan amaran kepada individu yang terlibat.

BDSB telah membayar sebanyak RM30,600 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 12 September 2024.

[1] BNM mengenakan AMP berdasarkan seksyen 75(2)(b) MSBA.


Bank Negara Malaysia
23 Oktober 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?