BNM meningkatkan kerjasama dengan bank-bank dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras modus operandi terbaharu oleh penipu kewangan
Bank Negara Malaysia (BNM) memandang serius tentang semua bentuk penipuan kewangan.
Semua bank berlesen dikehendaki menerapkan standard keselamatan yang tinggi, terutamanya untuk perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. Standard ini termasuk semakan keselamatan dan khidmat nasihat secara berkala yang dikeluarkan oleh BNM kepada institusi kewangan bagi memantapkan kawalan sedia ada dan memastikan perlindungan yang secukupnya terhadap ancaman terkini, sambil mengekalkan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan.
Risiko penipuan sentiasa berubah-ubah berikutan penipu terus menggunakan kaedah yang lebih canggih untuk menipu orang ramai. Kaedah ini termasuk pendekatan baharu untuk memperdaya pemegang akaun bank supaya mendedahkan butiran perbankan mereka atau memasukkan perisian hasad (malware) ke dalam peranti mereka. Oleh itu, industri kewangan dan pihak berkuasa terus berwaspada terhadap modus operandi yang terkini.
BNM terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan industri kewangan untuk menyelaraskan usaha membanteras fraud dan penipuan kewangan serta mewujudkan kesedaran orang ramai yang lebih meluas tentang taktik fraud terbaharu. Di samping memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan oleh institusi kewangan terhadap modus operandi yang baharu, usaha-usaha ini juga memberikan sokongan pada tindakan mendapatkan semula dana yang telah diselewengkan serta siasatan yang tepat pada masa dan berkesan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.
Orang ramai dinasihati untuk melindungi maklumat peribadi mereka dan lebih berwaspada semasa memuat turun fail atau aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan ke dalam peranti mudah alih. Pengguna perkhidmatan kewangan juga memainkan peranan yang penting untuk terus peka dengan ancaman baharu melalui makluman yang dikeluarkan oleh institusi kewangan, BNM dan pihak berkuasa lain dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri sendiri. Maklumat tentang ancaman terkini dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh individu bagi melindungi diri terhadap ancaman yang berubah-ubah boleh didapati daripada halaman Facebook Amaran Scam melalui Facebook Amaran Scam melalui https://www.facebook.com/amaranpenipuan/.
Para pemegang akaun yang mendapati wujudnya transaksi meragukan yang melibatkan akaun bank mereka perlu segera:
- Memaklumkan kepada bank mereka;
- Menghubungi talian yang berikut:
- Scam Response Centre Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Commercial Crime Investigation Department, CCID) melalui nombor 03-2610 1559/1599
- BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465
Tindakan ini akan memudahkan pengambilan langkah-langkah segera oleh CCID dengan kerjasama BNM dan bank-bank bagi membantu melindungi akaun-akaun yang terjejas; dan
- Membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dilakukan.
Bagi kes transaksi tanpa kebenaran, BNM menghendaki semua bank berlesen memastikan komunikasi dilakukan dengan betul serta bantuan penyelesaian yang adil diberikan kepada pelanggan yang telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri mereka dan tidak melakukan penipuan. Semua bank telah diberikan peringatan supaya memberikan bantuan dan maklumat yang sewajarnya kepada para pelanggan yang terjejas dalam usaha melindungi akaun mereka dan status penyiasatan oleh bank-bank.
BNM juga akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang bersesuaian bagi kes bank-bank yang tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi pelanggan mereka atau gagal mematuhi peraturan yang berkaitan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.