BNM terbitkan Buku Wang Saku dan Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2001

Embargo: Untuk siaran segera
01 Nov 2000 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari ini telah mengeluarkan "Buku Wang Saku 2001" dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2001". Kedua-dua buku tersebut merupakan terbitan siri ketiga. Siri yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 1999. Penerbitan kedua-dua buah buku tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM untuk menambahkan kesedaran dan kebolehan orang ramai mengenai perancangan kewangan serta pengurusan kewangan peribadi dan tabungan.

Tema bagi "Buku Wang Saku 2001" yang mana sasarannya adalah untuk pelajar sekolah ialah "Pengurusan Kewangan Yang Bijak". Ia bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang tabiat perbelanjaan yang bijak di kalangan golongan muda serta pentingnya pengurusan kewangan peribadi yang mantap.

"Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga 2001" adalah disasarkan kepada golongan berkeluarga. Pada asalnya buku ini bertajuk "Buku Penyata Kewangan Keluarga", dan tujuan buku ini ialah untuk membantu pengurusan pendapatan keluarga, perbelanjaan, tabungan dan pelaburan bagi tahun 2001. Buku ini buat pertama kalinya memuatkan bahagian yang berdasarkan konsep "pengurusan dan belanjawan", yang merupakan satu ciri penting dalam pengurusan kewangan keluarga.

Kedua-dua buku ini boleh didapati di Muzium Matawang BNM, Kuala Lumpur;cawangan-cawangan BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; bank-bank perdagangan; Kedai Pos 2020 dan kedai-kedai buku yang terpilih.

Buku Wang Saku 2001 diilustrasikan oleh Y.Bhg. Dato’ Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Lat. Buku-buku ini akan diedarkan ke sekolah-sekolah oleh bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad dan Lembaga Urusan Tabung Haji di bawah Program Sekolah Angkat.


Bank Negara Malaysia
01 November 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?