BNM Tubuhkan Skim Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa (KJBI)
Bagi mengurangkan beban kepada perniagaan yang menghadapi masalah kewangan akibat bencana banjir, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Skim Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa (KJBI). Sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu.
Pinjaman di bawah skim ini boleh diperolehi daripada bank-bank komersil dan bank Islam, Bank Perusahaan Kecil Dan Sederhana Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad serta Bank Pertanian Malaysia.
Pinjaman sedemikian akan diberi jaminan menerusi Credit Guarantee Corporation bagi 80 peratus daripada jumlah pembiayaan (termasuk pokok dan faedah).
Ciri-ciri utama skim KJBI ini adalah seperti berikut:
- Terbuka kepada perniagaan yang terjejas di kawasan yang dikenalpasti oleh Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri sebagai kawasan bencana banjir;
- Jumlah maksima pinjaman di bawah skim KJBI bagi sesebuah kumpulan syarikat adalah dihadkan kepada RM500,000;
- Kadar pinjaman yang dicaj adalah pada kadar tetap 2.5 peratus setahun. Bagi sistem kewangan Islam, kadar tokokan di bawah kontrak Murabahah atau Bai' Bithaman Ajil juga ditetapkan pada kadar 2.5 peratus setahun;
- Tempoh pinjaman maksima adalah selama tiga tahun, dengan tempoh kelonggaran selama enam bulan. Perniagaan yang memerlukan bantuan kewangan, adalah dinasihati supaya menghubungi institusi kewangan yang melaksanakan skim berkenaan. Kemudahan tersebut terbuka mulai hari ini sehingga 31 Mac 2007. Institusi kewangan dan insurans juga digalakkan mengambil pendekatan pro-aktif masing-masing untuk melaksanakan program bantuan bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan mereka yang terjejas akibat banjir.
- Menangguhkan sementara pembayaran pinjaman bank,
- Menstruktur semula pinjaman,
- Penepian (waiver) yuran transaksi dan/atau caj pinjaman,
- Pembayaran tuntutan insurans dipercepatkan, serta
- Perlanjutan tempoh urus niaga di kawasan terjejas.
Bagi memudahkan pelaksanaan langkah-langkah berkenaan, Bank Negara Malaysia akan memberikan beberapa fleksibiliti pengawalan, di mana perlu kepada institusi-institusi yang terbabit.
Orang ramai dinasihati untuk menghubungi pusat khidmat pelanggan institusi kewangan mereka untuk sebarang pertanyaan atau bantuan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia LINK pada talian terus 03-26920091 atau 03-26988044 sambungan 8949 dan 8970 untuk keterangan lanjut.
PEJABAT PERDANA MENTERI
MALAYSIA
8 Januari 2007
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.