Ciri-ciri yang Lebih Baik Kemudahan Istimewa Jaminan Bantuan bagi Peniaga-peniaga yang Terjejas Akibat Banjir

15 Feb 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan ciri-ciri lebih baik Kemudahan Istimewa Jaminan Bantuan (Special Relief Guarantee Facility, SRGF) bagi kawasan yang terjejas akibat banjir. Tempoh pembayaran balik SRGF kini dilanjutkan daripada tiga tahun kepada lima tahun bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh peniaga-peniaga yang terjejas akibat banjir. Di samping itu, di bawah Kemudahan ini, penangguhan (moratorium) selama enam bulan diberikan kepada semua peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka. Bank Negara Malaysia dengan kerjasama industri perbankan telah memperkenalkan SRGF berjumlah RM500 juta pada 8 Januari 2007. SRGF telah diterima dengan baik oleh peniaga-peniaga di kawasan yang terjejas akibat banjir. Sehingga kini, institusi kewangan menerima sebanyak 1,200 permohonan pinjaman. Antaranya, sebanyak 588 permohonan pinjaman yang bernilai RM88 juta telah diluluskan. Sementara itu, lebih daripada 500 permohonan pinjaman berjumlah RM103 juta sedang diproses. Institusi kewangan memberi keutamaan kepada pemohon SRGF bagi memastikan kelulusan dan pengeluaran pinjaman yang segera. Orang ramai dinasihati untuk menghubungi pusat khidmat pelanggan atau cawangan-cawangan institusi kewangan masing-masing secara terus untuk pertanyaan atau bantuan. Mereka juga boleh menghubungi Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia di 03-2692 0091 atau 03-2698 8044 samb. 8949/8970 untuk maklumat lanjut atau bantuan.


Bank Negara Malaysia
15 Februari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?