Dana Modal Minimum Institusi Perbankan dinaikkan
Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa jumlah minimum wang modal yang tidak tercacat oleh kerugian ("minimum amount of capital funds unimpaired by losses") bagi kumpulan perbankan domestik akan dinaikkan kepada RM2 bilion. Bagi tujuan ini, wang modal bagi setiap kumpulan perbankan domestik dikira berdasarkan kepada jumlah agregat wang modal bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar.
Jumlah minimum wang modal bagi institusi perbankan milik asing akan dinaikkan kepada RM300 juta.
Jumlah minimum wang modal yang baru ini akan diwartakan menurut Seksyen 14 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989. Semua kumpulan perbankan domestik dan institusi perbankan milik asing mempunyai masa sehingga 31 Disember 2001 untuk mematuhi keperluan modal baru tersebut.
Peningkatan jumlah minimum wang modal ini adalah selaras dengan matlamat utama untuk mempertingkatkan daya tahan institusi perbankan dan memperkukuhkan kedudukan modal peserta pasaran tempatan. Berdasarkan kemajuan pesat di dalam pasaran kewangan, adalah penting bagi institusi perbankan mempunyai modal yang kukuh untuk mengharungi cabaran daripada suasana ekonomi yang lebih berdaya saing dan liberal serta membuat pelaburan di dalam teknologi maklumat. Di samping itu, kedudukan modal yang lebih kukuh akan meletakkan institusi perbankan pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan ekonomi baru. Bank Negara Malaysia akan memantau dengan rapi untuk memastikan kesemua institusi perbankan mematuhi keperluan minimum wang modal tersebut.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.