Dasar pendaftaran digital bagi pembukaan akaun tanpa mengira waktu dan tempat
Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan Dokumen Dasar mengenai Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (Electronic Know Your Customer, e-KYC). Dokumen dasar ini bertujuan untuk mempercepat dan memperkemas amalan peserta industri dalam penggunaan teknologi e-KYC iaitu proses mengenal pasti dan mengesahkan pelanggan secara dalam talian.
Penggunaan teknologi e-KYC oleh industri ini adalah sejajar dengan usaha Bank untuk menggalakkan penawaran perkhidmatan kewangan digital dengan lebih meluas. Usaha ini diharapkan dapat membuka jalan bagi inovasi yang lebih canggih dalam sektor kewangan, termasuk penawaran perkhidmatan kewangan digital secara menyeluruh untuk pengguna.
e-KYC membolehkan pendaftaran pelanggan dibuat secara digital tanpa mengira waktu dan tempat. Melalui perlaksanaan e-KYC, kebanyakan pelanggan tidak perlu lagi mengunjungi premis fizikal penyedia perkhidmatan untuk membuka akaun. Selain meningkatkan keselesaan pelanggan, pendaftaran pelanggan secara digital melalui e-KYC juga mengurangkan kos kepada pengguna dan penyedia perkhidmatan. Dalam jangka panjang, hal ini juga akan membantu meningkatkan persaingan dalam sektor kewangan
Dokumen dasar ini berusaha untuk menggalakkan penggunaan e-KYC yang selamat dan terjamin dalam sektor kewangan dengan menerangkan hasil yang ingin dicapai dalam penggunaan e-KYC dan menyediakan amalan terbaik serta parameter bagi memastikan proses pendaftaran untuk pelanggan berjalan dengan selamat dan berintegriti.
Dokumen Dasar ini merupakan sebahagian daripada langkah yang dilaksanakan oleh Bank bagi memastikan bahawa keperluan pengawalseliaan menyokong agenda negara yang berkaitan dengan ekonomi digital.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.