Dialog antara Institusi Pengajian Tinggi dengan Wakil-wakil Industri Kewangan dan Pasaran Modal

Embargo: Untuk siaran segera
10 Apr 2007 Siaran Akhbar

Menteri Pengajian Tinggi, Y.B. Dato' Mustapa Mohamed dan Gabenor Bank Negara Malaysia telah mempengerusikan dialog antara universiti-universiti dengan pihak pengurusan kanan industri kewangan dan pasaran modal di Bank Negara Malaysia pada 10 April 2007. Wakil-wakil universiti termasuk naib-naib canselor, dekan-dekan daripada Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan serta penuntut universiti. Mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada siri dialog yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha memperkukuh kerjasama antara pihak industri dengan para akademik.

Mesyuarat telah membincangkan kedudukan pembangunan modal insan dalam sektor perkhidmatan kewangan, dan menumpukan pada permintaan terhadap kepakaran dan kemahiran baru dalam persekitaran yang semakin global, dinyahkawal selia dan liberal. Dialog ini juga membincangkan prospek kerjasama yang lebih erat antara industri kewangan dengan institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang pembangunan kurikulum dan penyelidikan.

Wakil-wakil daripada institusi pengajian tinggi mengemukakan pandangan menyeluruh berhubung dengan kurikulum semasa dan bidang-bidang penyelidikan yang berkaitan dengan sektor perkhidmatan kewangan yang telah dijalankan. Sesi dialog ini juga membincangkan bidang-bidang kerjasama yang boleh diwujudkan serta kaedah untuk melaksanakan hasil-hasil penyelidikan dalam sektor kewangan. Wakil-wakil daripada industri kewangan menyuarakan pandangan masing-masing mengenai kesesuaian para graduan universiti dalam memenuhi keperluan sektor kewangan.

Mesyuarat juga dimaklumi tentang perubahan pesat yang sedang berlaku dalam sektor perkhidmatan kewangan yang telah membawa kepada kemunculan aktiviti-aktiviti baru termasuk perbankan pelaburan, pengurusan kekayaan dan kewangan Islam. Sektor ini juga kian penting sebagai penjana pertumbuhan ekonomi yang menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan sumbangan yang semakin meningkat kepada proses pertumbuhan ekonomi keseluruhan. Pada masa yang sama, tuntutan terhadap institusi kewangan juga meningkat, didorong oleh persekitaran yang lebih kompetitif dan tuntutan pengguna dan sektor perniagaan yang semakin sofistikated dan berpengetahuan. Dalam menghadapi cabaran persekitaran baru ini, penawaran tenaga kerja mahir yang berkaliber amat penting kepada industri perkhidmatan kewangan. Institusi kewangan memerlukan tenaga profesional yang bukan sahaja berkebolehan dari segi teknikal bahkan mempunyai kualiti kepimpinan yang mantap, tahap kemahiran komunikasi dan keusahawanan yang cemerlang, berpengetahuan dalam perniagaan global dan berkeupayaan untuk menerajui inovasi dan pencapaian terbaik.

Mesyuarat bersetuju supaya input daripada peserta industri kewangan akan digunakan dalam semakan kurikulum oleh universiti-universiti bagi memastikan kurikulum akan terus relevan dalam memenuhi keperluan industri yang kian berubah.

Mesyuarat bersetuju supaya kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri kewangan harus lebih tersusun, jelas dan menyeluruh demi kebaikan bersama kedua-dua pihak dan juga negara. Dua bidang utama kerjasama ialah pewujudan sekumpulan tenaga pengajar berpengalaman, dan penyelidikan khusus dalam bidang-bidang utama sektor kewangan.

Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan telah mengenal pasti sekumpulan pengamal kewangan yang berpengalaman luas sebanyak 50 orang, yang boleh dimanfaatkan kepakaran dan pengalaman perniagaan secara praktikal mereka oleh institusi pengajian tinggi. Institusi pengajian tinggi juga dimaklumi tentang bidang penyelidikan yang boleh dijalankan untuk memberi nilai tambah kepada pembangunan industri perkhidmatan kewangan. Sektor kewangan akan memperoleh manfaat daripada pendekatan penyelidikan yang lebih tersusun dan berasaskan keperluan industri berbanding dengan usaha penyelidikan sedia ada yang dijalankan secara tidak bersepadu. Hasil penyelidikan baru boleh menyumbang ke arah peningkatan inovasi produk dalam sektor perkhidmatan kewangan. Bidang-bidang penyelidikan yang dikenal pasti juga termasuk pelaksanaan Basel II, pengurusan risiko institusi kewangan, kesan persaingan daripada institusi-institusi kewangan Islam dan juga asing, gelagat pengguna dan tatalaku pemasaran, serta penggunaan model-model aktuari dalam industri insurans.

Mesyuarat bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat antara industri kewangan dengan institusi pengajian tinggi adalah kritikal untuk menghasilkan tenaga insan yang bermutu tinggi bagi memenuhi keperluan sektor kewangan. Kerjasama yang tersusun dalam bidang tenaga pengajar dan penyelidikan merupakan langkah pertama kepada perjalanan ke arah mewujudkan suatu sistem universiti yang dinamik dan bertindak mengikut perubahan persekitaran dan dengan itu mampu menyumbang secara berkesan kepada pembangunan sektor perkhidmatan kewangan dan ekonomi negara.

Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Negara Malaysia
10 April 2007


Bank Negara Malaysia
10 April 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?