Dialog bersama Institusi Perbankan
Bank Negara Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua industri perbankan hari ini untuk membincangkan isu berkaitan dengan perkembangan ekonomi dan keadaan perniagaan semasa.
Akses kepada pembiayaan yang berterusan adalah amat penting untuk mengekalkan aktiviti ekonomi di dalam negara. Dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem kewangan dan kedudukan kewangan yang kukuh, bank-bank berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan pembiayaan yang berterusan. Bank Negara Malaysia menekankan pentingnya untuk bank-bank terus memainkan peranan sebagai pemberi pinjaman yang bertanggungjawab dan memastikan kemudahan pinjaman tidak ditarik balik atau permohonan pinjaman ditolak tanpa mengambil pertimbangan yang wajar. Pertimbangan yang wajar juga perlu diambil apabila bank menjadualkan semula dan menyusun semula kemudahan pinjamannya. Bank-bank perlu proaktif dalam berurusan dengan pelanggan mereka.
Industri perbankan bersetuju untuk meningkatkan komitmen dan interaksi dengan pelanggan mereka. Persatuan Bank-bank Malaysia juga akan berkomunikasi secara lebih efektif dengan persatuan perniagaan, dewan perniagaan dan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran tentang akses dan pengurusan produk dan perkhidmatan kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.