Dialog Malaysia–Hong Kong Kedua Mengenai Perniagaan Renminbi Luar Pesisir
Dialog Malaysia-Hong Kong Kedua mengenai Perniagaan Renminbi (RMB) Luar Pesisir (Dialog) telah berlangsung dengan jayanya di Johor Bahru, Malaysia hari ini. Dialog ini yang bertujuan untuk mewujudkan kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan Hong Kong dalam pembangunan perniagaan RMB, telah diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority (HKMA), dan disertai oleh perwakilan kanan bank serta wakil korporat dan perniagaan dari Malaysia dan Hong Kong.
Perasmian Dialog ini telah disempurnakan oleh Encik Marzunisham Omar, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Encik Vincent Lee, Pengarah Eksekutif (Luar) HKMA. Dialog ini mengkaji semula pencapaian terkini pengantarabangsaan RMB, termasuk penggunaan mata wang tersebut yang semakin meluas dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan langsung, dan pelaburan portfolio. Bidang lain yang turut dibincangkan termasuk peluang bagi kemungkinan penggunaan RMB berikutan peranan China yang semakin besar dalam perdagangan dan pelaburan di Asia, serta usaha berterusan untuk menjadikan akaun modal RMB boleh tukar. Bank-bank yang menyertai Dialog ini juga berkongsi pengalaman menggunakan RMB untuk memenuhi keperluan perdagangan, pelaburan dan pendanaan perniagaan dengan lebih baik.
Dialog yang seterusnya akan diadakan pada tahun 2016.
Bank Negara Malaysia
Hong Kong Monetary Authority
27 Mac 2015
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.