Dialog Tahunan dengan Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful

Embargo: Untuk siaran segera
24 Ogo 2006 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia telah mengadakan dialog dengan pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif penanggung insurans dan pengendali takaful pada 22 dan 23 Ogos 2006. Dengan bertemakan "Penempatan Strategik dalam Persekitaran yang Semakin Berubah", sesi dialog tahunan 2006 ini tertumpu pada isu-isu berhubung dengan peralihan industri insurans dan takaful ke arah persekitaran operasi dan pengawalseliaan berasaskan risiko, pencapaian peranan yang lebih besar bagi pengawalan kendiri (self-regulation) dalam bidang amalan pasaran, dan pembangunan dwisistem yang mantap bagi insurans konvensional dan takaful di Malaysia. Dialog ini merupakan sebahagian daripada proses perundingan Bank Negara Malaysia dan menyediakan platform untuk bertukar-tukar pandangan dan perspektif dalam bidang-bidang ini. Para peserta dialog juga dapat mengambil iktibar daripada pengalaman global serta inisiatif Malaysia untuk menjadi perintis dalam beberapa bidang, terutamanya dalam bidang kewangan Islam. Bank Negara Malaysia menekankan bahawa keutamaan dijuruskan ke arah pendekatan yang berfokus risiko dalam pengawasannya terhadap industri insurans dan takaful. Untuk mencapai matlamat ini, rangka kerja pengawalseliaan akan semakin dibezakan ke arah menyediakan rejim yang lebih fleksibel bagi institusi yang lebih kukuh dan diurus dengan baik, di samping menangani kelemahan yang wujud dalam institusi-institusi yang lebih lemah melalui kaedah penyeliaan yang sewajarnya. Sehubungan dengan perkembangan ini, persediaan bagi melaksanakan rangka kerja modal berasaskan risiko bagi syarikat insurans, yang disasarkan untuk dilaksanakan pada tahun 2008, telah dikaji semula untuk memastikan peralihan berjalan lancar. Rangka kerja baru ini akan mula dijalankan selari pada tahun 2007. Pembangunan satu rangka kerja pengawalseliaan kendiri (self-regulatory) turut dibincangkan. Ini bertujuan untuk membentuk satu rejim yang melibatkan lebih banyak penyertaan peserta industri secara kolektif untuk membangun dan menguatkuasakan secara berkesan kod amalan profesional dalam industri. Dengan ini, hasil dan tingkah laku keinstitusian yang dihasratkan akan dapat dicapai dengan lebih efisien. Dialog ini juga membincangkan isu-isu dan cabaran-cabaran berhubung dengan pembangunan dwisistem yang mantap bagi insurans konvensional dan takaful. Peluang-peluang bagi pengendali takaful dan penanggung insurans konvensional untuk saling melengkapi dan membina sinergi bersama telah dikenal pasti untuk dimanfaatkan. Antara cabaran utama yang dibincangkan adalah untuk mewujudkan satu sistem yang boleh dipercayai dengan menerima pakai amalan terbaik global dan mengekalkan persaingan yang adil, sambil mengakui tentang perlunya mempunyai peraturan yang berbeza dalam beberapa bidang tertentu bagi menggambarkan perbezaan asas dalam kedua-dua sistem itu. Persetujuan am juga dicapai berhubung dengan keperluan untuk mempergiatkan usaha mendidik orang ramai mengenai konsep takaful dan menangani tanggapan yang kurang tepat mengenai operasi pengendali takaful.


Bank Negara Malaysia
24 Ogos 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?