Dokumen Dasar mengenai Amalan Penyelesaian Tuntutan

01 Jul 2024 Notis Umum

Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Dokumen Dasar mengenai Amalan Penyelesaian Tuntutan (PD CSP). Dokumen dasar ini menetapkan standard minimum bagi pengendalian dan penilaian tuntutan insurans am dan takaful am. Piawaian ini mesti dipatuhi oleh penanggung insurans berlesen yang menjalankan perniagaan am dan pengendali takaful berlesen yang menjalankan perniagaan takaful am (Insurance and Takaful Operators, ITO) serta penyelaras berdaftar.

PD CSP bertujuan untuk memastikan hasil amalan penyelesaian tuntutan adalah adil, telus, dan tepat pada masanya melalui pengenaan keperluan dan harapan kawal selia terhadap ITO dan penyelaras berdaftar. Hal ini adalah untuk mematuhi standard yang tinggi bagi amalan perniagaan yang mantap dan bertanggungjawab.

Objektif utama yang lain dokumen dasar ini adalah untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian digital yang lebih meluas oleh ITO untuk mengurangkan pertikaian, meningkatkan kecekapan dan menambah baik pengalaman pelanggan. Keadaan ini seterusnya akan menyokong pengurusan kos tuntutan yang lebih baik dan pembendungan risiko penipuan oleh ITO. Selain itu, dokumen dasar ini akan menyumbang kepada kesinambungan akses pengguna kepada perlindungan insurans/takaful motor yang mampu milik pada jangka panjang.

Sorotan Utama
Penambahbaikan utama kepada dokumen dasar ini berkaitan tuntutan motor, yang bertujuan mencapai hasil yang diingini dan memastikan pengalaman pengguna yang positif, termasuk keperluan berikut untuk ITO:

  1. Peranan dan tanggungjawab Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan berkaitan amalan penyelesaian tuntutan.
  2. Keperluan untuk menerbitkan dan memaparkan Piagam Perkhidmatan Pelanggan Motor (MCSC) secara jelas di semua cawangan dan laman web. MCSC ini akan menggariskan, antara lain:
    • Masa pusingan yang boleh dijangka oleh pengguna terhadap tuntutan motor mereka.
    • Kriteria dan ambang untuk tuntutan yang dipercepatkan, jika berkenaan.
  3. Memendekkan masa pemulangan (turnaround time) proses penyelesaian tuntutan motor dan bukan motor.
  4. Meningkatkan ketelusan dalam anggaran pembaikan motor dengan membuat penilaian dan rekomendasi oleh penyelaras berdaftar atau penilai syarikat (in-house assessor) yang dapat diakses oleh benkel pembaikan kenderaan.
  5. Mengekalkan standard profesionalisme dan amalan penilai syarikat ITO yang tinggi. ITO perlu memastikan penilai syarikat mereka memiliki kelayakan yang mencukupi dan berkebolehan untuk menjalankan penilaian tuntuan secara objektif dan menerima latihan yang bersesuaian dan berterusan untuk  memastikan kemahiran yang seiring dengan perkembangan terkini dari aspek teknikal, teknologi, persekitaran dan perkembangan lain dalam ekosistem motor.
  6. Menasihat pemilik polisi/peserta takaful dengan perlindungan komprehensif mengenai manfaat dan pilihan untuk membuat tuntutan Own Damage Knock-for-Knock (OD KfK) bagi mencepatkan pemprosesan tuntutan.
  7. Memastikan pengendalian dan penilaian yang baik terhadap kenderaan dengan status Kehilangan Keseluruhan Sebenar (ATL) dan Kenderaan Tidak Lagi Ekonomi untuk Dibaiki (BER), termasuk menggunakan ATL dan BER sebagai istilah yang berbeza, sejajar dengan definisi masing-masing.
  8. Memastikan layanan adil terhadap pengguna yang membeli kenderaan BER dari segi akses kepada perlindungan insurans/takaful.

Tarikh Pengeluaran
1 Julai 2024

Tarikh Kuat Kuasa
2 Januari 2025, kecuali perenggan berikut yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2024:

  1. Perenggan 10.26 hingga 10.28;
  2. Perenggan 11.16 hingga 11.18;
  3. Perenggan 12.1 hingga 12.13;
  4. Perenggan 14.1 hingga 14.5;
  5. Perenggan 14.11 hingga 14.26;
  6. Perenggan 15.1 hingga 15.27;
  7. Perenggan 16.1 hingga 16.6.

Dokumen Berkaitan

  1. Dokumen Dasar mengenai Amalan Penyelesaian Tuntutan
  2. Soalan Lazim mengenai Dokumen Dasar (Bahasa Inggeris)
  3. Kenyataan Maklum Balas terhadap Draf Pendedahan (Bahasa Inggeris)

Jabatan Pengeluar
Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran


Bank Negara Malaysia
01 Julai 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?