Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh dan diunjurkan berkembang antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025
Sejak pengumuman unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2025 dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari Bank Negara Malaysia pada bulan Mac 2025, ekonomi global telah berubah dengan ketara. Prospek pertumbuhan global terkesan oleh perubahan dasar perdagangan dan ketidakpastian berkaitan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik. Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia akan dipengaruhi oleh perkembangan ini. Malaysia mempunyai kelebihan kerana ekonomi negara menghadapi rintangan luaran ini dari kedudukan yang kukuh. Penunjuk terkini, termasuk anggaran awal bagi pertumbuhan suku kedua, terus menunjukkan kegiatan ekonomi yang masih kukuh. Permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan akan terus menyokong pertumbuhan pada masa hadapan. Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, serta langkah-langkah dasar akan terus menyokong penggunaan swasta. Sementara itu, pengembangan dalam aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh kemajuan dalam projek infrastruktur berbilang tahun, lebih banyak pelaksanaan secara berterusan pelaburan yang telah diluluskan dan pelbagai inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.
Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh dan diunjurkan berkembang antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025. Unjuran pertumbuhan terkini mengambil kira senario tarif yang pelbagai, merangkumi senario kemungkinan kenaikan tarif yang berterusan serta hasil rundingan perdagangan yang lebih menggalakkan. Unjuran ini terus bergantung pada ketidakpastian dalam ekonomi global, iaitu sama ada pertumbuhan menjadi perlahan atau menjadi pesat. Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta aktiviti pelancongan yang giat boleh meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun menghadapi ketidakpastian global. Sebahagiannya adalah disebabkan oleh pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan sejak sekian lama. Kegiatan ekonomi yang terus kukuh serta inflasi yang sederhana menyediakan persekitaran yang menyokong bagi meneruskan pembaharuan struktur untuk membentuk Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan.”
Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025 berikutan keadaan permintaan dan kos yang sederhana
Inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana, dengan purata antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025. Unjuran terkini mencerminkan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana sejak bulan Mac 2025. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana. Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri dijangka kekal terkawal.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.