Enam Institusi Kewangan Pembangunan dikawalselia oleh BNM
Bank Negara Malaysia dengan ini mengumumkan, berikutan penggubalan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang berkuatkuasa mulai 15 Februari 2002, Bank Negara Malaysia telah diamanah untuk mentadbir Akta tersebut. Akta ini bertujuan untuk menyediakan sebuah rangka kerja pengawalan yang komprehensif dan berkesan bagi institusi kewangan pembangunan (IKP). Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan ini akan memberi penekanan ke atas IKP untuk berfungsi dengan efisien melalui keperluan-keperluan kehematan khusus dalam pengurusan aset dan liabiliti, penyeliaan yang komprehensif, standard pendedahan, pengurusan yang berkelayakan dan berkebolehan, dan urus tadbir korporat yang baik. Akta ini mengambilkira perbezaan dan keunikan fungsi-fungsi setiap IKP dengan membenarkan pemakaian Akta secara fleksibel ke atas sesebuah IKP dan aktiviti-aktivitinya.
Dalam fasa pertama perlaksanaannya, enam buah IKP iaitu:
- Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad
- Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad
- Malaysia Export Credit Insurance Berhad
- Export-Import Bank of Malaysia Berhad
- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad; dan
- Bank Simpanan Nasional
telah diletakkan di bawah bidang kuasa Akta ini.
Keenam-enam institusi di atas telah ditubuhkan dan sebahagian besarnya dibiayai oleh Kerajaan bagi menggalakkan sektor-sektor utama ekonomi yang telah dikenalpasti disamping untuk mencapai matlamat-matlamat sosial negara. Institusi-institusi ini memainkan peranan penting dalam bidang masing-masing dengan menyediakan perkhidmatan kewangan terkhusus bagi melengkapi institusi perbankan yang akan terus menyediakan perkhidmatan kewangan kepada sektor-sektor tersebut.
Seperti mana yang terkandung di dalam Pelan Induk Sektor Kewangan, institusi-institusi tersebut dijangka akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor-sektor yang strategik seperti yang telah digariskan di dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan. Penggubalan Akta IKP dan peletakan keenam-enam IKP di atas di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan IKP tersebut terus kekal relevan, efektif dan efisien dalam memenuhi pembangunan strategik negara.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.