Fi Pengendalian bagi Pinjaman Sewa Beli

Embargo: Untuk siaran segera
12 Jul 2000 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa mulai dari 13 Julai 2000 syarikat kewangan dibenarkan membayar fi pengendalian ("handling fees") sehingga tetapi tidak melebihi RM600 kepada pengedar kereta bagi setiap kes pembiayaan sewa beli yang dikemukakan oleh pengedar kereta kepada syarikat kewangan sebagai bayaran untuk perkhidmatan tertentu yang diberi oleh pengedar kereta seperti berikut:

  1. Memberi penjelasan kepada pelanggan mengenai terma-terma pinjaman sewa beli menurut Akta Sewa Beli 1967. Pengedar kereta juga menjelaskan kadar faedah yang ditawarkan oleh syarikat kewangan dan menerangkan butir-butir pembiayaan seperti jumlah bayaran balik bulanan;
  2. Membantu pelanggan mengisi borang permohonan pinjaman sewa beli syarikat kewangan dan memastikan borang-borang diisi dengan lengkap termasuk salinan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan sebelum pengedar mengemukakan borang-borang tersebut kepada syarikat kewangan;
  3. Pengambilan lindungan insurans kereta merupakan keperluan wajib di bawah Akta Sewa Beli 1967. Pengedar kereta akan memberi penjelasan kepada pelanggan mengenai terma-terma insurans yang wajib dan menguruskan lindungan insuran bagi kereta yang dijual;
  4. Membantu syarikat kewangan dalam menguruskan perakuan tuntutan hakmilik ke atas kereta yang dibiayai secara sewa beli. Pengedar kereta menguruskan urusan berhubung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendaftarkan kereta-kereta tersebut di bawah nama syarikat kewangan; dan
  5. Membantu syarikat kewangan memastikan kenderaan yang perlu menjalani pemeriksaan oleh Puspakom (bagi kenderaan komersil dan kenderaan "Re-Con") telahpun menjalani pemeriksaan tersebut.

Fi pengendalian tersebut akan dibayar "upfront" kepada pengedar kereta dan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat-syarikat kewangan tanpa membebankan pembeli kereta. Syarikat-syarikat kewangan juga telah memberi jaminan bahawa bayaran tersebut tidak akan memberi kesan kepada kadar faedah sewa beli yang telah turun baru-baru ini berikutan pemberhentian pembayaran komisen.

Dengan wujudnya fi pengendalian berkenaan, perkara-perkara berikut perlu dipatuhi oleh pihak masing-masing:

  1. Syarikat-syarikat kewangan tidak dibenarkan membuat apa-apa jua bayaran kepada pengedar kereta selain daripada fi pengendalian yang ditetapkan;
  2. Para pembeli kereta yang hendak membiayai pembelian kereta secara sewa beli hendaklah diberi pilihan sama ada untuk menggunakan khidmat pengedar kereta untuk memperolehi pembiayaan sewa beli ataupun berurusan terus dengan syarikat kewangan;
  3. Pengedar kereta tidak boleh mengamalkan diskriminasi terhadap pembeli kereta yang membayar secara tunai atau mendapat pembiayaan daripada majikannya; dan
  4. Pengedar kereta juga tidak boleh mengenakan bayaran yang tidak telus ("hidden cost") ke atas mana-mana perkhidmatan lain dan tidak boleh mengenakan apa-apa jua bayaran tambahan tanpa persetujuan pembeli.

Fi pengendalian untuk pinjaman sewa beli di atas yang berasaskan khidmat yang diberi adalah lebih telus dan adil kepada kesemua pihak iaitu pengguna, pengedar/wakil pengedar dan syarikat kewangan berbanding dengan komisen sewa beli yang dikenakan sebelum ini yang berasaskan jumlah dan tempoh pinjaman sewa beli dan membebankan para pengguna.


Bank Negara Malaysia
12 Julai 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?