Financial Action Task Force (FATF) Mengiktiraf Kekukuhan Rejim AML/CFT/CPF Malaysia dalam Semakan Terkini
Malaysia telah mencatatkan pencapaian positif yang memberangsangkan dalam usaha untuk membanteras dan memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (money laundering, terrorism financing and proliferation financing, ML/TF/PF). Dalam penerbitan bersama oleh FATF/APG[1] berhubung dengan Laporan Penilaian Bersama (Mutual Evaluation Report, MER),[2] Malaysia telah mencapai status Regular Follow-Up[3] yang merupakan kategori tertinggi dalam proses penilaian bersama (mutual evaluation, ME) FATF.
Berbanding dengan ME terdahulu pada tahun 2015, peningkatan status ini mencerminkan tahap pematuhan teknikal yang kukuh oleh Malaysia serta pembanterasan ML/TF/PF yang semakin berkesan. MER ini mengiktiraf beberapa faktor utama yang meneguhkan rejim AML/CFT/CPF[4] Malaysia, iaitu:
- Rangka kerja perundangan dan institusi yang komprehensif bagi memerangi ML/TF/PF, termasuk pindaan terkini terhadap undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 2016, Akta Syarikat Labuan 1990, Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949.
- Pemahaman risiko ML/TF/PF yang mendalam dan menyeluruh melalui tiga siri Penilaian Risiko ML/TF Kebangsaan serta beberapa penilaian tematik.
- Penyelarasan dan kerjasama dalam negeri yang mantap melalui Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC) yang mapan serta penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC) dan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force, MATF).
- Rangka kerja penyeliaan dan penguatkuasaan yang kukuh, termasuk memanfaatkan penggunaan teknologi bagi penyeliaan dan analitik berasaskan risiko, di samping pemahaman risiko yang lebih baik serta langkah pencegahan oleh institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan aset maya.
- Keupayaan risikan kewangan yang canggih untuk menyokong siasatan ML/TF, termasuk integrasi analitik data dan perkongsian maklumat antara agensi yang lancar.
- Perolehan semula aset yang besar melalui penegasan ketara pada peringkat dasar dan operasi yang menghasilkan peningkatan 15 kali sejak ME 2015 dengan jumlah aset yang diperoleh semula sebanyak
63 bilion. - Siasatan dan pendakwaan TF berimpak tinggi yang sebahagian besarnya selaras dengan tahap risiko, serta pelaksanaan CFT/CPF dan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS) yang berkesan, dengan penambahbaikan dalam program jangkauan dan pemantauan terhadap organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berisiko bagi tujuan melindungi organisasi sebegini daripada penyalahgunaan.
MER ini menegaskan kekukuhan penjajaran Malaysia dengan piawaian antarabangsa, mencerminkan komitmen negara untuk melindungi integriti sistem kewangan. Hasil yang positif ini memperkukuh keyakinan global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang selamat dan telus, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran jangka panjang. Hal ini juga memperteguh kepercayaan serta menggalakkan kerjasama rentas sempadan, lantas membuka ruang kepada rangkaian dan perkongsian yang lebih mendalam dengan negara-negara lain.
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Bagi pihak NCC, kami mengalu-alukan penerbitan MER tersebut. Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan usaha seluruh negara dalam memelihara integriti sistem kewangan serta memerangi pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan. Kami akan terus memperkukuh kerangka AML/CFT/CPF negara bagi menangani risiko yang baru muncul, mengekalkan keyakinan global terhadap sektor kewangan Malaysia serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.”
Susulan penerbitan MER, NCC akan membangunkan dan melaksanakan strategi serta pelan tindakan kebangsaan yang komprehensif bagi menangani risiko dan melaksanakan saranan daripada laporan tersebut ke arah memperteguh kerangka AML/CFT/CPF negara.
MER boleh diakses dalam laman web FATF melalui pautan yang berikut: www.fatf-gafi.org
Bank Negara Malaysia
Pengerusi
Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram
11 Disember 2025
Mengenai NCC
NCC ialah sebuah badan yang ditubuhkan pada tahun 1999 dan bertanggungjawab untuk menyelaras, melaksanakan serta memantau inisiatif AML/CFT/CPF Malaysia. Bank Negara Malaysia bertindak sebagai pengerusi dan sekretariat bagi platform antara agensi ini. Anggota-anggota lain agensi ini adalah seperti berikut:
- Jabatan Peguam Negara;
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia;
- Jabatan Imigresen Malaysia;
- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia;
- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan;
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia;
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;
- Kementerian Kewangan;
- Kementerian Luar Negeri;
- Kementerian Dalam Negeri;
- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri;
- Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional;
- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan;
- Polis Diraja Malaysia;
- Jabatan Kastam Diraja Malaysia; dan
- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Maklumat lanjut boleh didapati melalui: https://amlcft.bnm.gov.my/domestic-coordination
[1] Financial Action Task Force dan Asia/Pacific Group on Money Laundering.
[2] MER menganalisis tahap pematuhan Malaysia terhadap International Standards on Combating Money Laundering and the Financing of Terrorism & Proliferation (FATF Recommendations) serta tahap keberkesanan sistem pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF) negara. Penilaian ini turut mengemukakan dapatan dan saranan untuk mengukuhkan lagi sistem tersebut.
[3] Tiga kategori susulan dalam proses ini ialah Regular Follow-Up, Enhanced Follow-Up dan rujukan kepada International Cooperation Review Group.
[4] Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.