Fleksibiliti Pengendalian Untuk Institusi Perbankan Asing yang Diperbadankan dan Beroperasi di Malaysia

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1830 pada Rabu, 28 Disember 2005
28 Dis 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa institusi perbankan asing yang diperbadankan (IBAD) dan beroperasi di Malaysia akan dibenarkan untuk menubuhkan sehingga empat buah cawangan tambahan dalam tempoh satu tahun berkuat kuasa 1 Januari 2006. Fleksibiliti pengendalian ini merupakan peringkat pertama dalam pendekatan berperingkat liberalisasi cawangan, selaras dengan strategi umum yang digariskan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan.

Matlamatnya adalah untuk mengubah sistem kewangan Malaysia menjadi sistem yang boleh memberi sumbangan terbaik kepada negara. Bagi mencapai tujuan ini, aspirasi kita adalah supaya sektor kewangan menyediakan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia dari segi rangkaian produk, kualiti dan penetapan harga. Sebagai satu komponen sektor kewangan yang penting, IBAD diharap dapat menyumbang kepada pencapaian matlamat ini.

Inisiatif penyusunan semula dan pembaharuan yang telah diambil telah memperkukuh kapasiti dan keupayaan sektor perbankan domestik. Ini telah menghasilkan institusi perbankan domestik yang lebih kukuh dan lebih kompetitif. Institusi ini kini boleh memberikan respons yang positif terhadap persaingan yang lebih sengit dengan menawarkan rangkaian produk inovatif yang lebih pelbagai dan memperbaiki kualiti perkhidmatan pelanggan secara berterusan. Kini, institusi perbankan domestik menguasai bahagian pasaran yang membanggakan, dengan mencakupi 78% daripada jumlah pinjaman, 68.3% daripada pinjaman perumahan, 84.7% daripada pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 78.3% daripada pinjaman perniagaan.

Asas kepada pengurusan ekonomi Malaysia ialah dasar untuk mencapai pertumbuhan yang seimbang dalam suasana kestabilan sosial. Institusi perbankan domestik yang mempunyai banyak cawangan di kawasan luar bandar, sesetengahnya sehingga mencapai 20% daripada jumlah cawangan, telah berjaya mencapai prestasi yang mapan di samping memastikan kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan. Sebaliknya, lokasi IBAD pula terletak terutamanya di bandar-bandar raya utama. Penempatan cawangan yang lebih meluas di seluruh negara akan meningkatkan lagi kemudahan kepada pelanggan untuk memperoleh akses kepada perkhidmatan perbankan, termasuk perkhidmatan daripada IBAD. Sehubungan dengan itu, IBAD akan dibenarkan untuk menubuhkan sehingga 4 buah cawangan baru berdasarkan nisbah yang ditentukan terlebih dahulu, iaitu 1 (pusat pasaran): 2 (separa bandar): 1 (luar bandar).

Melalui fleksibiliti pengendalian ini, IBAD diharap menyertai sektor kewangan secara lebih bermakna dan memainkan peranan pengantaraan mereka dalam ekonomi domestik dengan berkesan. Dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan pertumbuhan yang seimbang dan kestabilan sosioekonomi pada dekad-dekad yang lalu adalah penting dalam mengekalkan prestasi dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Selaras dengan visi Bank Negara Malaysia untuk mewujudkan sektor perbankan yang cekap, berdaya tahan dan dinamik yang mampu menampung keperluan transformasi ekonomi dengan berkesan, Bank Negara Malaysia akan memantau dan mengkaji semula kemajuan inisiatif liberalisasi ini secara fleksibel bagi memastikan manfaat yang maksimum dapat diperoleh daripada proses ini.

 

Lihat juga : Senarai Institusi Perbankan

 


Bank Negara Malaysia
28 Disember 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?