Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Khamis, 10 November 2005
10 Nov 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia akan menganjurkan Forum dan Pameran Sistem Pembayaran yang pertama pada 28 dan 29 November 2005. Forum yang bertemakan "Perpindahan Kepada Pembayaran Secara Elektronik" itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Forum ini akan mempertemukan pakar antarabangsa, pengamal sektor kewangan, pegawai kanan daripada sektor awam dan wakil daripada syarikat swasta utama untuk membincangkan strategi dan berkongsi pengalaman mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan perpindahan kepada pembayaran secara elektronik.

Perbincangan akan tertumpu pada bidang-bidang termasuk cabaran dalam perpindahan kepada pembayaran secara elektronik, manfaat pembayaran secara elektronik kepada penggunanya, membangunkan piawaian pembayaran yang sama, penipuan dan sekuriti dalam pembayaran secara elektronik serta meningkatkan kesedaran pengguna dalam penggunaan instrumen pembayaran secara elektronik.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan menyampaikan ucap utama dan merasmikan Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005. Antara acara utama Forum itu ialah pembentangan oleh pakar asing yang terlibat dalam pembayaran secara elektronik termasuk:

  • Encik Harry Leinonen, Penasihat kepada Lembaga Pengarah, Bank of Finland,
  • Cik Wendy Cole-Deardorff, Pengurus Program EFT bagi Bahagian Bantuan Kanak-kanak, Kerajaan Washington State,
  • Encik Eric Tai, Ketua Pegawai Eksekutif Octopus Cards Limited dan
  • Encik Shaun Ghaidan, Ketua Jualan Produk dan Penyerahan bagi Rantau Asia Pasifik, Mastercard International.

    Pakar dari Malaysia pada Forum itu termasuk:

  • Encik Teh Ben Chu, Timbalan Akauntan Negara,
  • Encik Mohd. Suhail Amar Suresh, Pengurus Besar, Malaysia Electronic Payment System Sdn. Bhd.,
  • Dr. Fadhllulah Suhaimi, Pengurus Besar TM Net bagi Strategi dan Perkhidmatan dan
  • En. Surinder Singh, Penolong Presiden bagi Pengurusan Tunai, Maybank Bhd.

    Sempena Forum itu, satu Pameran Sistem Pembayaran juga akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pembayaran secara elektronik dan bagi pengamal industri mempamerkan inovasi, produk dan perkhidmatan terbaru mengenai pembayaran secara elektronik. Sebanyak 28 pempamer yang terdiri daripada vendor kad, vendor ATM dan terminal, pengendali sistem pembayaran, pengeluar wang elektronik, bank perdagangan, pengeluar kad dan pembekal sistem akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. Orang ramai diundang untuk melawat pameran itu dan memperoleh maklumat mengenai perkembangan terbaru dalam pembayaran secara elektronik.

    Lihat juga: /psfe2005/


Bank Negara Malaysia
10 November 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?