Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2014

Embargo: Untuk siaran segera
11 Nov 2014 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Kad Kebangsaan (National Cards Group, NCG) akan menganjurkan Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2014 pada 27 November 2014, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Forum pada tahun ini bertemakan Perpindahan kepada E-Pembayaran: Penerimaan Kad Pembayaran.

Forum ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan menggalakkan penerimaan kad pembayaran dalam kalangan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dan perusahaan mikro.

Forum ini akan memberikan perkembangan terkini berhubung dengan penerimaan kad pembayaran di Malaysia, yang antara lain meliputi topik berkaitan infrastruktur penerimaan kad pembayaran, masa depan kad debit, kelebihan penerimaan kad pembayaran bagi peniaga, langkah-langkah pengurangan dan keselamatan berkaitan dengan penipuan kad pembayaran serta inovasi kad pembayaran.

Penceramah terkemuka daripada industri kad pembayaran akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dan membincangkan perkembangan terkini kad pembayaran pada forum ini. Para peniaga yang bercadang untuk menerima kad pembayaran dan ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai penerimaan kad pembayaran boleh hadir ke forum ini.

Bersempena dengan forum ini juga, satu pameran akan diadakan pada 27 November 2014, dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Institusi perbankan, syarikat kad pembayaran dan rangkaian kad pembayaran akan mempamerkan produk terkini yang ditawarkan untuk kad pembayaran mereka, perkhidmatan perbankan Internet dan perbankan mudah alih. Orang ramai dijemput ke pameran ini bagi mendapatkan tawaran istimewa kad pembayaran dan pakej e-pembayaran.

Sesi akhir Kempen Think Online Safety, Think C.A.R.D anjuran Persatuan Bank-Bank di Malaysia dan NCG akan diadakan di Sasana Kijang pada hari pameran tersebut. Orang ramai akan memahami dengan lebih baik mengenai aspek keselamatan e-pembayaran serta amalan yang selamat semasa membuat transaksi kad dalam talian di gerai yang mengadakan program kesedaran dan pendidikan pengguna NCG.

Bagi syarikat yang berminat untuk menghadiri forum ini, sila daftar nama syarikat berserta nama wakil yang akan hadir kepada [email protected] dan [email protected] tidak lewat dari 14 November 2014.

Lampiran 1 : Senarai pempamer

 


Bank Negara Malaysia
11 November 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?