Forum Dasar Global AFI ke-5 Dirumuskan dengan Komitmen Baharu dalam Sasana Accord
Forum Dasar Global AFI (Alliance for Financial Inclusion, AFI) ke-5 berakhir di Kuala Lumpur, Malaysia hari ini dengan komitmen Rangkaian AFI terhadap Sasana Accord. Forum tiga hari ini dianjurkan bersama oleh Persatuan bagi Rangkuman Kewangan (AFI) dan Bank Negara Malaysia.
Forum yang bertemakan "Memacu Dasar bagi Impak yang Optimum", dihadiri oleh para pengubal dasar kanan, gabenor bank pusat, rakan strategik daripada organisasi antarabangsa dan wakil-wakil penting dari sektor swasta. Forum ini dihadiri oleh lebih daripada 400 peserta dari 80 buah negara, untuk berbincang dan mempertimbangkan strategi dasar optimum dalam pelbagai konteks melalui sinergi matlamat rangkuman kewangan, kestabilan kewangan dan perlindungan pengguna.
Acara kemuncak Forum ini ialah ucaptama oleh Permaisuri Maxima dari Belanda. Permaisuri Maxima menekankan bahawa rangkuman kewangan bukanlah hanya untuk sesuatu tujuan sahaja. Rangkuman kewangan membolehkan pencapaian matlamat yang lebih besar seperti kemakmuran ekonomi yang saksama. Selain itu, rangkuman kewangan juga mempercepat pengurangan kemiskinan, pembentukan peluang pekerjaan, jaminan bekalan makanan, kesihatan, daya tahan, pemerkasaan wanita, dan banyak lagi hasil positif yang lain.
Forum ini turut menumpukan pada inisiatif dasar penting, termasuk pengawalan kewangan yang seimbang, aspek kualiti rangkuman kewangan dan data yang lebih berkualiti dan komprehensif berserta matlamat kebangsaan masing-masing yang boleh dinilai dan diukur secara kuantitatif.
Forum ini berakhir dengan pengisytiharan Sasana Accord. Sasana Accord akan mengukuhkan lagi komitmen Rangkaian AFI terhadap Maya Declaration dengan melaksanakan penilaian sistematik terhadap impaknya bagi memastikan matlamat rangkuman kewangan boleh dinilai dan diukur secara kuantitatif.
Menerusi Sasana Accord, penggubalan dasar dan strategi rangkuman kewangan akan mendapat bukti dan keputusan yang berasaskan data serta dapat menyumbang ke arah mempercepat kemajuan dan pengukuran impak. Sasana Accord juga tertumpu pada pembinaan keupayaan institusi dan tenaga mahir dalam kalangan Rangkaian AFI untuk merumuskan dan melaksanakan dasar rangkuman kewangan yang akan menghasilkan impak optimum bagi komuniti yang tiada kemudahan perkhidmatan kewangan.
Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya pada majlis penutup Forum ini berkata bahawa agenda rangkuman kewangan negara adalah berdasarkan falsafah untuk menggalakkan pertumbuhan yang seimbang dan saksama. Dasar Kerajaan tertumpu pada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, menangani kos hidup yang semakin meningkat dan terus mengurangkan kemiskinan melalui usaha menyokong perniagaan kecil untuk berkembang serta meningkatkan keupayaan modal insan.
Forum Dasar Global yang akan datang akan diadakan di Trinidad dan Tobago pada tahun 2014.
Lihat juga: Sasana Accord
Bank Negara Malaysia
12 September 2013
Maklumat Forum Dasar Global AFI (GPF) 2013
Forum Dasar Global AFI 2013 merupakan forum terbesar yang diadakan oleh Rangkaian AFI dengan jumlah delegasi melebihi 400 orang. Pada masa ini, AFI merangkumi lebih daripada 100 institusi penggubal dasar dari 84 buah negara membangun dan sedang pesat membangun, iaitu mewakili 75 peratus daripada 2.5 bilion penduduk dunia yang tiada kemudahan perkhidmatan kewangan.
Maklumat mengenai AFI
Persatuan bagi Rangkuman Kewangan (Alliance for Financial Inclusion, AFI) merupakan rangkaian bank-bank pusat dan badan-badan pengawalseliaan kewangan lain negara membangun yang berpengetahuan. Sebagai persatuan penting bagi usaha rangkuman kewangan global, AFI merupakan salah satu daripada lima pelaksana bagi G20 Global Partnership for Financial Inclusion (GPFI).
Sumbangan AFI kepada proses rangkuman kewangan G20 bermula apabila Kumpulan Pakar Rangkuman Kewangan (Financial Inclusion Expert Group, FIEG) G20 mengundang AFI untuk mengambil bahagian sebagai Penasihat. Sehubungan dengan itu, AFI menekankan bahawa kebanyakan dasar yang paling pintar dan inovatif untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan adalah dari negara-negara membangun dan adalah penting untuk mendengar dan mempelajari daripada pengalaman negara-negara membangun. Kumpulan ini memanfaatkan banyak program AFI yang sedang dilaksanakan, termasuk dialog dan mesyuarat dengan penggubal dasar negara membangun, dan bersama-sama dengan Kaji Selidik Rangkuman Kewangan AFI (Survey on Financial Inclusion) yang membantu membentuk Prinsip-prinsip bagi Rangkuman Kewangan Yang Inovatif (Principles for Innovative Financial Inclusion) G20.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.