Gabenor dilantik Pengerusi Majlis IFSB

12 Jan 2007 Siaran Akhbar

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) untuk tempoh setahun bagi penggal Januari hingga Disember 2007. Dr. Zeti mengambilalih tugas yang sebelum ini dipegang Sheikh Salem Abdul-Aziz Al-Saud Al-Sabah.

Dr. Zeti ialah Pengerusi keempat sejak Majlis IFSB ditubuhkan, dan Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Majlis IFSB pada bulan Mac 2007.

Dr. Zeti dilantik Gabenor Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2000. Beliau memainkan peranan utama dalam menubuhkan IFSB pada tahun 2002. Dr. Zeti ialah seorang personaliti yang aktif dalam kewangan Islam dan sumbangan beliau diiktiraf di seluruh dunia. Beliau juga amat mengambil berat mengenai pembangunan sumber manusia dalam industri kewangan Islam dan telah mencetuskan penubuhan beberapa pusat latihan dan pendidikan yang bertumpu kepada pembangunan tenaga mahir dalam perbankan dan kewangan Islam.

Sewaktu perkhidmatannya, Malaysia, selaku negara hos IFSB, telah memperkenalkan Akta IFSB 2002 yang merupakan undang-undang khas yang memberi IFSB imuniti dan keistimewaan yang biasanya diberi kepada organisasi antarabangsa dan misi diplomatik.

Di samping itu, Dr. Shamshad Akhtar, Gabenor Bank Pusat Pakistan telah dilantik Timbalan Pengerusi Majlis IFSB. Dr. Akhtar menjadi Gabenor Bank Pusat Pakistan pada bulan Januari 2006 dan merupakan wanita pertama dan gabenor ke-14 sejak penubuhannya pada bulan Julai 1948.

Sebelum dilantik gabenor, Dr. Akhtar merupakan Ketua Pengarah Jabatan Asia Tenggara di Bank Pembangunan Asia (ADB) sejak tahun 2004. Jabatan Asia Tenggara merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Pengerusi IFSB adalah pelantikan tahunan secara pusingan antara Ahli Penuh IFSB sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikle Persetujuan IFSB.


Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam
Kuala Lumpur
12 Januari 2007 (dialihbahasa)


Bank Negara Malaysia
12 Januari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?