Garis Panduan Semakan Mengenai Perniagaan Insurans Perubatan dan Kesihatan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Jumaat, 26 Ogos 2005
26 Ogo 2005 Siaran Akhbar

Pada hari ini Bank Negara Malaysia mengeluarkan Garis Panduan mengenai Perniagaan Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHI) yang telah disemak kepada penanggung insurans. Ini akan menggantikan garis panduan yang sedia ada, yang mengawal perniagaan insurans perubatan dan kesihatan yang dikeluarkan buat pertama kali pada bulan Disember 1998. Garis panduan semakan ini bertujuan untuk menggalakkan layanan yang lebih saksama dan konsisten terhadap pengguna di bawah perlindungan polisi MHI yang dikeluarkan oleh syarikat insurans am dan hayat.

Berhadapan dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan, permintaan pengguna terhadap perlindungan MHI telah meningkat dalam tempoh lima tahun yang lepas. Premium tahunan yang diunderait oleh industri bagi perniagaan MHI melebihi tahap RM1 bilion pada tahun 2003 dan terus meningkat.

Garis panduan semakan ini menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi penanggung insurans berkaitan dengan syarat pengeluaran polisi MHI, penetapan premium, had-had yang boleh dikenakan atas manfaat utama yang diberikan di bawah polisi, dan pendedahan kepada pemegang polisi. Manfaat yang lebih baik kepada pengguna pada umumnya termasuk:

 

 

• tempoh menunggu yang lebih pendek sebelum seseorang pemegang polisi berhak untuk menuntut manfaat yang diberikan di bawah polisi;
• pengenalan tempoh minimum "free-look" selama 15 hari bagi pengguna menilai kesesuaian polisi baru yang telah beli;
• mengguna pakai definisi untuk terma dan syarat polisi penting yang lebih konsisten, yang akan membolehkan pengguna membuat perbandingan antara produk dan mengurangkan kesamaran mengenai perlindungan yang diberikan;
• had atas bahagian tuntutan perubatan yang sepatutnya ditanggung oleh pemegang polisi di bawah syarat pembayaran bersama bagi polisi MHI yang lazim dibeli; dan
• pendedahan yang jelas dan mudah mengenai ciri-ciri utama polisi pada masa penjualan.

Garis panduan semakan ini juga akan memberi perlindungan tambahan kepada individu yang berisiko lebih tinggi dengan memerlukan penanggung insurans untuk menyederhanakan dengan sesuai sebarang kenaikan premium atau surcaj yang dikenakan atas individu tersebut, berdasarkan pengalaman portfolio. Di bawah garis panduan yang sedia ada, penanggung insurans juga tidak patut menolak permohonan untuk memperbaharui sesuatu polisi MHI semata-mata atas alasan tuntutan yang telah dibuat oleh pemegang polisi tersebut sebelum itu. Walau bagaimanapun, faktor-faktor pengunderaitan lain - seperti perubahan dalam pekerjaan yang menjejaskan risiko kesihatan individu tersebut atau kegagalan pemegang polisi untuk mendedah maklumat penting kepada penanggung insurans - boleh diambil kira apabila penanggung insurans membuat keputusan untuk tidak memperbaharui polisi.

Penanggung insurans mempunyai tempoh sehingga akhir tahun 2005 untuk menyemak produk MHI mereka yang sedia ada, selaras dengan keperluan-keperluan garis panduan semakan yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2006. Sementara itu, produk MHI baru yang diperkenalkan sebelum 1 Januari 2006 juga patut mematuhi keperluan garis panduan ini.

Pengguna dinasihatkan supaya memastikan bahawa mereka memberikan maklumat penuh kepada penanggung insurans seperti yang dikehendaki dalam borang cadangan apabila membeli polisi MHI, dan mengemukakan pertanyaan kepada agen atau penanggung insurans untuk memahami sepenuhnya sebarang kecualian atau had yang dikenakan atas manfaat yang diberikan di bawah polisi MHI sebelum mengesahkan pembelian mereka.

Bank Negara Malaysia
26 Ogos 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?