Governor's Speech at the Launch of Maybank's Internet Banking Service

Nikko Hotel, Kuala Lumpur | 9 Jun 2000

Selamat pagi dan salam sejahtera, Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Maybank kerana menjemput saya untuk melancarkan perkhidmatan perbankan internet Maybank yang dinamakan Maybank2u.com pada pagi ini.

Pelancaran Maybank2u.com ini merupakan satu peristiwa bersejarah kerana ia mencatat satu kemajuan yang begitu bermakna dalam peningkatan penggunaan teknologi oleh sistem perbankan kita. Sehubungan dengan hal ini Maybank sekali lagi membuktikan keunggulannnya dengan muncul sebagai bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan perkhidmatan perbankan melalui internet.

Perkembangan pesat di dalam bidang teknologi dan komunikasi telah membawa kesan yang ketara ke atas sektor perbankan. Kemajuan teknologi telah membolehkan produk dan perkhidmatan perbankan ditawarkan dengan lebih cekap dan berkesan. Dalam masa yang sama, tahap kesedaran IT yang lebih tinggi dikalangan para pelanggan institusi perbankan telah menyebabkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan perbankan melalui saluran-saluran elektronik semakin meningkat. Bagi memastikan institusi-institusi perbankan terus berdaya saing dalam persekitaran yang lebih mencabar ini, strategi persaingan perlulah terus diperbaiki dan dimantapkan dari masa ke semasa. Ini adalah penting bagi memastikan agar strategi tersebut sentiasa relevan dan bersesuaian dengan persekitaran yang kita hadapi.

Dengan proses liberalisasi dan "deregulation" yang semakin ketara, industri perbankan harus menyedari bahawa strategi perniagaan yang sedia ada perlulah terus diperkayakan. Institusi perbankan akan terdedah kepada suasana baru yang memerlukan mereka supaya sentiasa pro-aktif, inovatif dan berdaya saing. Institusi perbankan bukan saja akan bersaing sesama mereka, malah juga terpaksa berhadapan dengan penglibatan bukan bank seperti syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan pelanggan dan peluang perniagaan. Dalam suasana ini, kewujudan saluran penghantar elektronik yang lebih cekap seperti Internet perlulah dimanfaatkan seluas mungkin.

Dalam era globalisasi yang semakin mencabar, institusi perbankan perlu bertindak pantas dalam mempelbagaikan produk dan perkhidmatan mereka. Penawaran produk dan perkhidmatan melalui saluran internet contohnya, bukan saja akan membantu institusi perbankan mengekal dan meluaskan pasaran mereka, malah ia juga dijangka dapat mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang.

Sepertimana yang tuan-tuan sedia maklum satu "payment gateway" telahpun dilancarkan pada 22 Mac 1999 bagi kemudahan urusniaga melalui Internet. Setakat ini hanya empat institusi perbankan tempatan sahaja yang telah menggunakan kemudahan ini. Pada masa yang sama perkhidmatan GIRO di antara bank-bank telah juga dilancarkan pada 21 April yang lepas. Sehingga hari ini hanya tujuh buah bank tempatan telah menggunakan kemudahan tersebut. Saya berharap agar bank-bank tempatan dapat menggunakan semua peluang dan kemudahan yang telah disediakan dengan sepenuhnya. Institusi perbankan di Malaysia khususnya hendaklah mengambil peluang daripada kos capaian Internet yang jauh lebih rendah di Malaysia berbanding dengan negara lain di rantau ini bagi meningkatkan penyertaan yang lebih pesat dan efektif dalam e-dagang. Dengan infrastruktur yang sentiasa diperbaiki dan program galakan oleh kerajaan serta peningkatan penggunaan Internet di negara ini, peluang menembusi pasaran baru adalah lebih besar.

Tidak dapat dinafikan bahawa Perbankan Internet membuka peluang kepada bank untuk berkembang dan meningkatkan nilai pemegang saham. Institusi perbankan perlulah memastikan bahawa penglibatan mereka di dalam perbankan melalui internet hendaklah konsisten dengan keseluruhan strategi perniagaan mereka. Analisa kos dan faedah perlulah dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan pelaburan yang dibuat akan mendatangkan keuntungan dalam jangka panjang.

Dalam masa yang sama, setiap institusi perbankan perlulah memiliki satu konsep yang jelas yang dapat diterjemahkan kepada sebuah pelan perniagaan yang menguntungkan, sebelum melibatkan diri di dalam perbankan melalui internet. Selain itu, penyediaan sumber yang mencukupi dari segi tenaga kerja serta teknologi adalah amat kritikal dalam mencapai kejayaan perancangan mereka. Institusi perbankan di Malaysia tidak seharusnya mengabaikan isu-isu penting seperti penyediaan perancangan perniagaan yang tersusun, penjenamaan, strategi pemasaran serta pengurusan risiko yang mantap.

Salah satu faktor yang amat penting dalam menentukan kejayaan institusi perbankan dalam penawaran produk dan perkhidmatan melalui internet ialah kemampuan mewujudkan tahap keselamatan yang tinggi. Dalam hal ini, institusi perbankan perlu berusaha mempertingkatkan kesedaran dikalangan kakitangan mereka bahawa aspek keselamatan merupakan satu budaya yang penting dalam operasi perbankan. Perasaan curiga tentang kemungkinan berlakunya pencerobohan ke atas sistem keselamatan saluran-saluran elektronik institusi perbankan akan mengurangkan minat para pelanggan untuk menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut. Bagi mengelakkan timbulnya keadaan sedemikian institusi perbankan yang menawarkan produk dan perkhidmatan melalui internet perlulah sentiasa memastikan bahawa tahap keselamatan yang disediakan adalah yang terbaik dan sentiasa dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi semasa. Dalam masa yang sama, institusi perbankan juga perlu memainkan peranan utama dalam mendidik dan memberi maklumat yang tepat serta pendedahan kepada pelanggan tentang aspek-aspek keselamatan serta kelebihan dalam penggunaan internet.

Di samping cabaran dari aspek keselamatan, institusi perbankan juga perlu bersedia menangani isu-isu yang melibatkan reputasi mereka. Institusi-institusi perbankan perlu menyedari bahawa menerusi internet mereka akan berhadapan dengan kumpulan pelanggan yang mempunyai harapan yang berbeza berbanding pelanggan biasa. Pelanggan-pelanggan ini selalunya berkehendakkan perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mempunyai sikap mesra pelanggan. Justeru itu, institusi perbankan perlu memberi penekanan serta keutamaan terhadap faktor masa dan ketepatan dalam menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan melalui internet.

Seperti yang kita ketahui, pelaburan di dalam teknologi maklumat adalah satu faktor penting dalam menentukan masa depan sesebuah institusi perbankan. Malah, seperti yang kita ketahui, institusi-institusi kewangan, terutamanaya di peringkat antarabangsa telah membuat pelaburan yang besar dalam menyediakan infrastruktur IT mereka. Dalam hal ini, saya difahamkan bahawa Kumpulan Maybank telah  memperuntukkan satu jumlah yang agak besar bagi pelaburan dalam teknologi perbankan internet ini. Saya berharap segala usaha gigih ini akan menjadi pemangkin kepada semua para pengurusan dan kakitangan Kumpulan Maybank untuk terus memberi perkhidmatan berkualiti. Segala inovasi berteknologi yang diperkenalkan akan lebih berkesan apabila dilengkapi dengan tahap perkhidmatan yang lebih efisien.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Maybank kerana sudi menjemput saya bagi melancarkan perkhidmatan Perbankan Internet syarikat Kumpulan Maybank pada hari yang bersejarah ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Kumpulan Maybank.

Dengan ucapan BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Maybank2u.com - Gerbang Kewangan Dalam Talian - yang pertama di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

Bank Negara Malaysia
9 Jun 2000


Bank Negara Malaysia
09 Jun 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?