Governor's Speech at the Opening of the Saving Promotion Seminar
Kuala Lumpur | 26 Ogos 1997
Terlebih dahulu saya bagi pihak Jawatankuasa Kabinet Galakan Menabung yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri/Merangkap Menteri Kewangan Malaysia ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para hadirin sekelian kerana sudi hadir pada pagi ini untuk mengikuti Seminar Galakan Menabung. Sebagaimana saudara dan saudari sedia maklum, kempen galakan menabung di peringkat kebangsaan telahpun dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Disember 1996 dan selepas itu beberapa aktiviti telah pun diadakan.
Walaupun pada masa ini segala perhatian sedang tertumpu kepada pergolakan di pasaran matawang di rantau ini, kita perlu terus berusaha untuk membina asas yang telahpun membawa kejayaan kepada negara setakat kini. Satu elemen yang telah membolehkan negara kita mencapai kejayaan ekonomi ialah kadar tabungan negara yang tinggi. Dengan kadar tabungan negara yang tinggi, kita telah dapat mencapai kadar pelaburan yang tinggi. Perkembangan ini membolehkan Malaysia meningkatkan keupayaan produktifnya dengan tidak bergantung banyak kepada tabungan asing. Jika kita terlalu bergantung kepada pinjaman asing, kita akan menghadapi risiko dan kos dana yang tinggi terutamanya di dalam keadaan pasaran yang kurang stabil seperti pada masa ini. Oleh itu, kita perlu berusaha meningkatkan kadar tabungan dalam negeri dan dengan itu membantu mengurangkan risiko tersebut.
Tujuan seminar ini ialah untuk membolehkan semua peserta, baik dari Jabatan-jabatan/ agensi kerajaan mahupun sektor swasta mendapat gambaran yang jelas mengenai matlamat yang kita hendak capai, strategi-strategi yang telah digubal serta juga memberi makluman dan maklumbalas kemajuan yang telah dicapai setakat ini. Dengan cara ini, kita dapat menilai aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan serta cara-cara untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha kita. Seminar ini juga akan meningkatkan kesedaran di antara semua agensi berkenaan atas aktiviti yang telah dilaksanakan oleh setiap Jawatankuasa. Dengan ini kita akan dapat kefahaman menyeluruh untuk mencapai tahap penyelarasan yang lebih efektif di antara jawatankuasa dan agensi yang berkenaan. Akhirnya, ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara Jawatankuasa dan agensi yang berkenaan. Saya yakin semua peserta yang menghadiri Seminar pada hari ini akan mendapat penjelasan dan manfaat melalui maklumat-maklumat yang disampaikan oleh penceramah-penceramah dan juga semasa sesi perbincangan dan soal-jawab.
Kita sedar bahawa kadar tabungan negara pada masa ini adalah di antara yang tertinggi di dunia (37.8% daripada KNK dalam tahun 1996), tetapi amatlah penting untuk kita terus meningkatkan budaya menabung di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun negara telah berjaya mengekalkan kadar tabungan yang agak tinggi selama tiga dekad berturut-turut (berpurata 28.6% 1970-1996), kita tidak harus berpuas hati dengan pencapaian ini. Kadar tabungan yang tinggi ini boleh menurun seperti yang dialami oleh negara-negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat jikalau langkah-langkah tidak di ambil untuk mengekalkan kadar tabungan yang dicapai pada masa ini. Selain dari itu, struktur demografi boleh juga mempengaruhi kadar tabungan. Kadar penduduk yang menabung akan berkurangan apabila jumlah penduduk tua meningkat. Oleh itu, adalah penting bagi pekerja yang masih muda digalakkan menabung dan pada masa yang sama kita perlu menyemai tabiat menabung kepada generasi muda yang akan menjadi penabung di masa hadapan.
Seperti yang saudara dan saudari sedia maklum, negara kita mempunyai Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju yang diterajui oleh sektor pembuatan. Pada masa ini negara kita masih lagi bergantung kepada pelaburan asing dalam membiayai pembangunan negara. Walaupun dasar kerajaan masih menggalakkan pelaburan asing untuk menampung kekurangan pelaburan oleh pelabur tempatan, kita perlu berusaha mengumpulkan modal tempatan supaya negara kita boleh berdikari dari segi kewangan. Peningkatan persaingan untuk menarik pelabur asing serta pergolakan kewangan di luar negara menunjukkan perlunya untuk kita meningkatkan lagi tabungan negara supaya pertumbuhan ekonomi kita tidak terjejas di masa hadapan.
Pada masa ini negara kita menghadapi jurang di antara pelaburan dan tabungan oleh kerana kadar pelaburan kita yang tinggi melebihi kadar tabungan dan ini dicerminkan oleh defisit akaun semasa. Oleh kerana kadar tabungan dalam negeri tidak mencukupi untuk membiayai pelaburan dalam negeri, negara terpaksa bergantung kepada pelaburan asing atau meminjam dari luar negeri. Oleh itu, untuk menyediakan asas kepada pertumbuhan negara yang mampan di masa hadapan, struktur kewangan dari segi strategi galakan menabung perlu memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur kewangan dalam memperkembangkan produk kewangan yang baru dan menarik, serta memperbaiki mutu perkhidmatan perbankan dan mengadakan perkhidmatan khidmat nasihat kepada pelanggan supaya segala usaha untuk menyemai tabiat menabung dikalangan rakyat Malaysia akan berjaya. Walau bagaimanapun, aspek penting yang perlu diberi tekanan ialah amalan menabung yang akan meningkatkan tabungan dan bukan menggalakkan penabung menukar daripada satu jenis tabungan kepada jenis yang lain.
Kempen galakan menabung pada peringkat permulaan ini adalah bertujuan untuk menyebarkan kesedaran mengenai aspek kepentingan menabung dan faedah-faedah yang didapati darinya. Konsep menabung yang disarankan oleh Jawatankuasa Kabinet adalah berupa tabungan kewangan dan bukan kewangan. Dari segi tabungan kewangan, kempen galakan menabung ini menggalakkan individu menyimpan wang di institusi perbankan atau bukan perbankan. Beberapa langkah telah diambil oleh institusi kewangan dengan menyediakan pelbagai jenis produk tabungan. Di peringkat permulaan kempen galakan menabung, dua buah dokumen telah diterbitkan iaitu kepentingan menabung dan produk tabungan kewangan dengan tujuan memberitahu orang ramai jenis-jenis produk tabungan dan pelaburan yang terdapat dalam pasaran kewangan pada masa ini.
Disamping tabungan kewangan, kempen galakan menabung ini juga akan memberi penekanan terhadap tabungan bukan kewangan yang kurang diberi perhatian setakat ini. Konsep tabungan bukan kewangan ini adalah penting dalam amalan hidup kita. Ianya mengalakkan orang ramai mengamalkan sikap berjimat cermat, bersederhana, dan tidak membazir. Pada masa ini ramai rakyat Malaysia menikmati peningkatan pendapatan, hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat selama sembilan tahun berturut-turut. Sikap kurang berjimat cermat telah menular dengan nyata di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kita perlu ingat bahawa sumber kewangan dan sumber hasil adalah terhad dan jika sikap membazir tidak dibendung segala usaha Kerajaan untuk menggalakkan rakyat menabung akan menjadi sia-sia sahaja. Melalui kempen galakan menabung ini, tiga sasaran utama, iaitu golongan pekerja, kaum wanita dan pelajar-pelajar sekolah akan dididik mengenai kepentingan merancang kewangan dan belanjawan seharian. Cara-cara mencatat segala pendapatan dan perbelanjaan harian akan diajar supaya pada akhir bulan atau tahun mereka dapat mengenalpasti di mana penjimatan perbelanjaan boleh dilaksanakan. Dengan ini, sebarang kelebihan pendapatan hasil dari berjimat cermat dapat ditabungkan.
Sebagaimana saudara dan saudari sedia maklum, Kerajaan telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet Galakan Menabung pada bulan Ogos 1996. Berikutan, lima buah jawatankuasa utama yang terdiri daripada Jawatankuasa Pendidikan, Jawatankuasa Pekerja, Jawatankuasa Wanita, Jawatankuasa Penerangan dan Jawatankuasa Kewangan telah dibentuk bagi melaksanakan pelan tindakan aktiviti menabung yang telah dirangka dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Kabinet. Di sini saya ingin menyeru kepada semua ahli Jawatankuasa tersebut supaya berusaha secara bekerjasama dalam melaksanakan segala komitmen pelan tindakan yang telah dibentangkan dan dipersetujui oleh Pengerusi Jawatankuasa Kabinet. Untuk memastikan kempen galakan menabung berjalan lancar, struktur organisasi Urusetia telah dikemaskinikan dan peranan Urusetia telah diperkukuhkan bagi membolehkan Urusetia menyelaras segala perjalanan aktiviti kempen galakan menabung yang dilaksanakan oleh tiap-tiap Jawatankuasa. Urusetia sekarang dianggotai oleh wakil yang terlibat sepenuh masa dengan tugas-tugas galakan menabung dari setiap jawatankuasa.
Saya berharap semua peserta yang terlibat dalam menjalankan tugas kempen galakan menabung ini dapat memahami sepenuhnya tujuan dan semangat di sebalik kempen galakan menabung ini. Tugas kita sekarang ini ialah sebagai nadi penggerak untuk melaksanakan segala aktiviti yang kita rangka. Saya ingin menekankan bahawa kejayaan kempen ini tidak mungkin dapat dicapai di dalam masa yang singkat. Apa yang penting ialah kempen ini akan mendapatkan hasil yang diharapkan dalam masa jangka panjang di mana golongan rakyat yang menabung akan berlipat ganda, rakyat mengamalkan bersikap merancang kewangan dan berbelanja dengan teratur dan mengamalkan sikap hidup yang sihat seperti sikap berjimat cermat, tidak boros dan membazir. Justeru itu, saudara dan saudari yang terlibat dalam kempen ini perlu berusaha dengan gigih dan bekerjasama di antara semua jawatankuasa bagi memastikan kejayaan kempen ini dapat dikesan di kalangan ketiga-tiga kumpulan sasaran utama.
Akhir kata, saya sekali lagi berharap saudara dan saudari mendapat manfaat daripada seminar ini dan wassalamualaikum.
Bank Negara Malaysia
26 August 1997
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.