Governor's Speech Launching of the National-Level Saving Promotion Campaign
Kuala Lumpur | 16 Disember 1996
Terlebih dahulu saya bagi pihak Jawatankuasa Kabinet Galakan Tabungan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat, Timbalan Perdana Menteri ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi hadir pada petang ini untuk melancarkan Kempen Galakan Tabungan peringkat Kebangsaan.
Pelancaran kempen galakan tabungan ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam menyediakan asas bagi memaju dan merangsang pertumbuhan ekonomi untuk terus mampan di masa hadapan. Salah satu faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kita yang yang pesat ialah kadar tabungan negara yang tinggi. Kadar tabungan ini telah meningkat daripada 21% bagi tahun 1960 kepada 36.5% untuk tahun 1995. Bagi tahun 1996, kadar tabungan negara dianggarkan mencapai paras tertinggi iaitu sebanyak 38.8%. Walaubagaimanapun, kadar ini tidak mencukupi untuk membiayai kadar pelaburan yang lebih tinggi iaitu dianggarkan sebanyak 45.1% bagi tahun 1996. Untuk mengurangkan jurang perbezaan ini, kadar tabungan negara yang kita capai pada masa ini perlulah dipertingkatkan lagi. Hasil daripada peningkatan tabungan ini, bukan sahaja dapat membantu membangunkan ekonomi negara, tetapi ia juga akan meningkatkan kualiti hidup dan menjamin masa depan kita semua.
Menyedari betapa pentingnya perkara ini, Kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Galakan Tabungan bagi menyelaras segala usaha galakan tabungan di seluruh negara. Adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa ini menggubal strategi-strategi galakan tabungan. Di samping itu, ia juga bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan program yang meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai manfaat-manfaat menabung. Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai pemangkin dalam perkembangan infrastruktur kewangan yang dapat mempertingkatkan tabungan di kalangan orang ramai. Pelancaran Kempen Galakan Tabungan hari ini, merupakan langkah pertama yang penting untuk mencapai matlamat ini. Ia merupakan kemuncak kepada kerjasama dan perbincangan yang diadakan sejak beberapa bulan yang lalu di antara berbagai kementerian, agensi dan lain-lain termasuk Kementerian Kewangan, Pendidikan, Penerangan, Sumber Manusia, Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta institusi-institusi kewangan, media massa, persatuan pengguna, kesatuan sekerja dan juga Bank Negara Malaysia.
Bagi merancang dan melaksanakan pelbagai pelan tindakan, lima buah Jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa kewangan, pendidikan, publisiti, pekerja dan wanita. Peranan Jawatankuasa kewangan ialah mengenalpasti produk tabungan kewangan atau skim pelaburan yang baru, menggalak peningkatan infrastruktur kewangan yang lebih cekap serta menentukan tiada halangan atau sekatan dalam sistem kewangan yang boleh menjejaskan aktiviti tabungan. Peranan Jawatankuasa Pendidikan pula ialah untuk memupuk tabiat menabung dan mendidik para pelajar mengenai kepentingan menabung dan menggalakkan mereka bersifat berjimat-cermat. Penyebaran segala maklumat melalui penerbitan, media elektronik dan lain-lain adalah dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Publisiti. Penyebaran maklumat akan juga disalurkan melalui komunikasi bersemuka, kegiatan sivik, temuramah dan lain-lain kegiatan luar. Bagi Jawatankuasa Pekerja pula, ia ditugaskan untuk mengkaji dan menggalak serta memupuk tabiat menabung di kalangan pekerja. Di antara aktiviti-aktivitinya ialah mengadakan program pendidikan bersama di antara majikan dan kesatuan sekerja mengenai tabungan. Peranan Jawatankuasa Wanita ialah untuk mengadakan program pendidikan untuk kaum wanita, menggalakkan mereka merancang perbelanjaan serta menanam tabiat menabung dan berjimat cermat.
Kempen galakan tabungan ini adalah satu usaha yang menyeluruh. Penyertaan di semua peringkat sama ada di peringkat negeri dan daerah adalah digalakkan supaya kempen ini sampai ke semua peringkat.
Walaupun tabungan wajib seperti caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah menyumbang kepada kadar tabungan negara yang tinggi, program galakan tabungan ini akan memberi penekanan kepada tabungan sukarela. Ini ialah kerana tabungan sukarela merupakan faktor penting dalam menentukan kadar keseluruhan tabungan negara. Tabungan sukarela membolehkan kita memilih bentuk dan jumlah yang perlu ditabung mengikut keperluan dan kemampuan seseorang. Di samping itu, kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan tabungan melalui amalan berhemat seperti berjimat cermat, merancang perbelanjaan dan bersederhana dalam kehidupan seharian. Amalan berhemat ini dapat mengelakkan pembaziran dan menghasilkan lebihan yang boleh ditabung.
Strategi galakan tabungan yang akan dilaksanakan merangkumi dua aspek. Pertama, membangunkan infrastruktur kewangan tempatan dengan memperkenalkan produk kewangan baru dan mekanisme yang cekap untuk menggalakkan tabungan. Selanjutnya, kualiti perkhidmatan perbankan perlu dipertingkatkan lagi dengan tujuan memberi perkhidmatan yang sesuai untuk menggalakkan tabungan. Aspek kedua strategi ini ialah menyebarkan maklumat yang menyeluruh dan lengkap serta mendidik orang ramai mengenai kepentingan menabung. Melalui kedua-dua strategi ini, kita akan dapat mempertingkatkan dan mengekalkan kadar tabungan negara yang tinggi.
Memandangkan penyebaran maklumat adalah begitu penting dalam menjayakan usaha ini, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama institusi-institusi kewangan telah menerbitkan sebuah risalah mengenai "Kepentingan Menabung" dan sebuah buku kecil bertajuk "Produk Tabungan Kewangan di Malaysia". Tujuan risalah tersebut ialah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang faedah-faedah menabung dan manfaatnya. Risalah ini juga memberi tumpuan kepada pentingnya menabung melalui amalan berhemat.
Buku kecil "Produk Tabungan Kewangan di Malaysia" pula menerangkan kriteria-kriteria yang harus diambilkira semasa memilih produk tabungan kewangan seperti keselamatan dan risiko, kadar pulangan, mudah tunai dan seterusnya. Buku kecil ini juga menyediakan maklumat mengenai pelbagai jenis produk tabungan kewangan pada masa ini serta menerangkan perbezaan di antara tabungan dan pelaburan. Maklumat ini diharap dapat membantu orang ramai memilih produk yang sesuai untuk memenuhi keperluan kewangan dan tabungan mereka.
Bagi memastikan kempen galakan tabungan ini akan berjaya dan memberi kesan yang berkekalan, beberapa aktiviti akan dilaksanakan di sepanjang tahun 1997 bagi kumpulan sasaran tertentu seperti pelajar, pekerja dan wanita. Di antara aktiviti yang dijadualkan selepas pelancaran ini ialah kempen galakan tabungan di kalangan pelajar sekolah. Tujuan kempen ini ialah menanam tabiat menabung dan berjimat cermat di kalangan pelajar sekolah kerana kadar tabungan masa depan bergantung pada tabiat menabung mereka. Manakala kempen galakan tabungan untuk pekerja adalah juga sama pentingnya kerana mereka menentukan kadar tabungan semasa. Tujuan kempen galakan tabungan pekerja bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran dan memupuk tabiat menabung, tetapi juga menyediakan mekanisme baru untuk memudahkan mereka menabung. Kaum wanita memainkan peranan penting dalam pengurusan perbelanjaan keluarga dan rumah tangga. Oleh itu, aktiviti-aktiviti galakan tabungan untuk kaum wanita akan memberi penekanan kepada perancangan belanjawan. Dengan merancang belanjawan, kita akan memperoleh lebihan yang seterusnya boleh ditabung.
Dalam beberapa bulan yang lepas, semua Jawatankuasa telah berusaha keras dan bekerjasama dalam merancang dan menyediakan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun 1997. Saya bagi pihak Jawatankuasa Kabinet mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk melancarkan Kempen Galakan Tabungan ini.
Bank Negara Malaysia
16 December 1996
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.