Hab Inovasi Aset Digital Merangka Strategi 2026 dengan Tumpuan pada Stablecoin Ringgit dan Deposit Token

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Rabu, 11 Februari 2026
11 Feb 2026 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub, DAIH) telah menerima penyertaan tiga inisiatif untuk menguji aplikasi sebenar yang melibatkan stablecoin ringgit dan deposit token pada tahun 2026.

Ketiga-tiga inisiatif ini akan memberikan tumpuan pada kes penggunaan pembayaran borong bagi transaksi domestik dan rentas sempadan, termasuk membolehkan penyelesaian aset token. Senarai inisiatif yang telah menyertai DAIH boleh didapati melalui bnm.gov.my/DAIH.

Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal dan melibatkan kerjasama dengan rakan ekosistem termasuk pelanggan korporat institusi kewangan serta badan pengawal selia lain. Kes penggunaan tertentu juga akan melibatkan penelitian daripada aspek Syariah.

Ujian yang dijalankan akan membolehkan BNM menilai kesan terhadap kestabilan monetari dan kewangan serta menyumbang kepada hala tuju dasar BNM dalam bidang ini. Yang penting, BNM sedang merancang untuk memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai penggunaan stablecoin ringgit dan deposit token menjelang akhir tahun 2026. Usaha ini juga akan menjadi langkah awal bagi penyepaduan dengan usaha BNM yang sedia ada pada masa hadapan, seperti mata wang digital bank pusat borong (wholesale central bank digital currency, wCBDC).

Sejak pelancaran DAIH pada bulan Jun 2025, BNM telah mengadakan libat urus dengan lebih 30 peserta industri antarabangsa dan tempatan daripada sektor perbankan dan bukan perbankan. Melalui sesi libat urus ini, BNM dapat mengenal pasti dan mengutamakan kes penggunaan berimpak tinggi yang mempunyai nilai tambah yang jelas dan menyokong pendigitalan sektor ekonomi dan kewangan Malaysia.

BNM komited untuk terus memajukan inovasi yang bertanggungjawab dalam bidang aset digital melalui DAIH. DAIH akan mengadakan libat urus yang berterusan dengan bakal pemohon dan pada masa yang sama memberikan tumpuan segera untuk menyokong inisiatif yang telah diterima masuk.


Bank Negara Malaysia
11 Februari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?