Hasil Maklum Balas Orang Ramai Mengenai Cadangan Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga

Embargo: Untuk siaran segera
20 Feb 2014 Siaran Akhbar

Pada 9 Januari 2014, Bank Negara Malaysia telah selesai menyediakan maklum balas awal orang ramai mengenai cadangan kertas konsep rangka kerja insurans hayat dan takaful keluarga. Kertas konsep ini menggariskan cadangan untuk menyokong pembangunan jangka panjang industri insurans hayat dan takaful keluarga di Malaysia yang merangkumi bidang-bidang termasuk memberikan fleksibiliti dalam kendalian, pempelbagaian saluran penyampaian dan pengukuhan amalan pasaran. Dalam tempoh dua bulan, sejumlah 254 responden telah memberikan maklum balas secara dalam talian dan melalui surat kepada Bank Negara Malaysia.  Maklum balas daripada pelbagai pihak telah diterima termasuk daripada orang ramai, pengantara individu, persatuan pengguna serta industri penanggung insurans, pengendali takaful, agensi kuat kuasa dan penasihat kewangan.
 
Maklum balas diterima dalam bidang-bidang utama iaitu fleksibiliti dalam struktur operasi perniagaan penanggung insurans hayat dan takaful keluarga termasuk ganjaran kepada pengantara, dan penambahbaikan dalam keberkesanan saluran penyampaian yang berbagai-bagai. Dalam aspek pengukuhan amalan pasaran, maklum balas diterima mengenai cadangan rangka kerja kad skor seimbang(balance scorecard) untuk meningkatkan profesionalisme pengantara, mewujudkan product aggregator dalam talian untuk memudahkan perbandingan produk perlindungan yang asli serta mempertingkat keperluan penzahiran untuk membantu pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi.
 
Bank Negara Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan dan cadangan mereka dalam tempoh maklum balas ini.  Semua maklum balas akan diberikan pertimbangan, dan perbincangan selanjutnya dengan pihak berkepentingan akan diadakan apabila rangka kerja keseluruhan hendak dimuktamadkan.  Ini bagi memastikan industri insurans hayat dan takaful terus mempertingkat tawaran nilai mereka dan kekal relevan dalam persekitaran pasaran semasa.   


Bank Negara Malaysia
20 Februari 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?