Hijaukan Alam Sekitar Anda dengan Wang Kertas Hampir Baharu pada Tahun Baharu Cina 2014

Embargo: Untuk siaran segera
15 Jan 2014 Siaran Akhbar

Sebagai menyokong inisiatif Hijaukan Alam Sekitar Anda, Bank Negara Malaysia akan mengedarkan semula wang kertas RM1 dan RM5 yang hampir baharu untuk Tahun Baharu Cina yang akan datang ini.

Inisiatif Hijaukan Alam Sekitar Anda yang dilancarkan pada bulan Julai 2013, telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Hasilnya, Bank Negara Malaysia telah dapat mengurangkan pengeluaran wang kertas baharu sebanyak 35% semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Bank Negara Malaysia menghargai sokongan orang ramai terhadap inisiatif ini dan menggesa semua warga Malaysia untuk terus menggunakan wang kertas yang hampir baharu untuk edaran semula semasa sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini.

Setiap tahun, Bank Negara Malaysia mengeluarkan kira-kira 750 juta keping wang kertas baharu RM1 dan RM5 untuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Namun, daripada jumlah yang dikeluarkan itu, kira-kira 70% atau 500 juta keping wang kertas   disimpan semula ke dalam bank dan tidak digunakan untuk sebarang transaksi pembayaran. Ini merupakan penggunaan sumber negara yang tidak wajar kerana  pengeluaran 500 juta keping wang kertas menggunakan lebih daripada 80 tan dakwat dan 2 juta kWh elektrik yang cukup untuk kegunaan 7,500 buah rumah di seluruh Malaysia untuk sebulan.

Orang ramai digalakkan untuk menggunakan wang kertas yang hampir baharu itu sebagai "angpow" kerana wang kertas berkualiti tinggi sahaja diedarkan semula. Sepanjang musim perayaan ini, Bank Negara Malaysia akan memastikan wang kertas yang mencukupi dalam semua denominasi. Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBM) akan membantu mengedarkannya kepada orang ramai melalui cawangan-cawangan bank dan ATM.

Inisiatif Hijaukan Alam Sekitar Anda ialah inisiatif nasional untuk menggalakkan kelestarian sumber dan pemuliharaan persekitaran kita. Langkah usaha sama ini diambil oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Bank Negara Malaysia, Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Malaysian Environmental NGOs (MENGO) and Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA).

 


Bank Negara Malaysia
15 Januari 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?