Hong Kong dan Malaysia Melancarkan Penghubung Baharu Penyerahan Semasa Pembayaran Merentas Sempadan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0900 pada Isnin, 29 Oktober 2007
29 Okt 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority (HKMA) hari ini (Isnin) mengumumkan pelaksanaan penghubung penyerahan-semasa-pembayaran (delivery-versus-payment, DvP) merentas sempadan antara sistem penjelasan kasar masa nyata (real time gross settlement, RTGS) Dolar Amerika Syarikat (AS) di Hong Kong dengan sistem RTGS Ringgit di Malaysia pada 29 Oktober 2007.

Penghubung ini akan membantu menghapuskan risiko penjelasan bagi bon Dolar AS yang diterbitkan dan diniagakan di Malaysia dengan memastikan penyerahan Dolar AS di Hong Kong dan bon Dolar AS di Malaysia dijalankan serentak. Perkhidmatan penyelesaian DvP ini menyediakan infrastruktur penyelesaian yang perlu untuk menyokong kemungkinan terbitan bon Dolar AS di Malaysia, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dan Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa. Penghubung baharu ini dibangunkan berdasarkan kejayaan penghubung pembayaran-semasa-pembayaran (payment-versus-payment, PvP) antara sistem RTGS Dolar AS di Hong Kong dengan sistem RTGS Ringgit di Malaysia yang diwujudkan pada bulan November 2006. Pelancaran penghubung DvP ini akan menandakan selanjutnya kerjasama antara HKMA dengan Bank Negara Malaysia.

Sama seperti penghubung PvP, Bank Negara Malaysia mengendalikan penghubung DvP di Malaysia manakala di Hong Kong, ia dikendalikan oleh Hong Kong Interbank Clearing Limited, yang mengendalikan sistem penjelasan antara bank di Hong Kong dan dimiliki bersama dengan sama rata oleh HKMA dan Persatuan Bank-Bank Hong Kong.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Hong Kong Monetary Authority

Peggy Lo, Manager (Press), at (852) 2878 1687 or
Hing-fung Wong, Officer (Press), at (852) 2878 1802


Bank Negara Malaysia

Abu Hassan Alshari Yahaya, Director, Corporate Communications,
at (603) 2691 9335



Bank Negara Malaysia
Hong Kong Monetary Authority
29 Oktober 2007


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?