Hong Kong dan Malaysia Melancarkan Penghubung Baru Pembayaran Semasa Pembayaran Merentas Sempadan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1400 pada Isnin, 13 November 2006
13 Nov 2006 Siaran Akhbar

Hong Kong Monetary Authority (HKMA) dan Bank Negara Malaysia mengumumkan penghubung baru pembayaran semasa pembayaran (payment versus payment atau PvP) merentas sempadan antara sistem penjelasan kasar masa nyata (real time gross settlement atau RTGS) Dolar Amerika Syarikat (AS) di Hong Kong dengan sistem RTGS Ringgit di Malaysia. Penghubung baru ini telah dilancarkan pada 13 November 2006. Penghubung ini yang mula beroperasi hari ini akan menghapuskan risiko penjelasan dalam urus niaga pertukaran asing antara Dolar AS dengan Ringgit Malaysia apabila penyerahan Dolar AS di Hong Kong dan Ringgit di Malaysia dilakukan secara serentak. Penghubung PvP merentas sempadan ini ialah yang pertama di Asia. Pada 8 Disember 2005, HKMA dan Bank Negara Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan pewujudan penghubung PvP. Sebagaimana yang dijadualkan, penghubung PvP itu mula beroperasi pada hari ini dengan selesainya pembangunan dan ujian atas sistem itu. Bank Negara Malaysia mengendalikan penghubung itu di Malaysia manakala di Hong Kong, penghubung tersebut dikendalikan oleh Hong Kong Interbank Clearing Limited, yang mengendalikan sistem penjelasan antara bank di Hong Kong dan dimiliki bersama dengan sama rata oleh HKMA dan Persatuan Bank-Bank Hong Kong. Encik Joseph Yam, Ketua Eksekutif HKMA berkata, "Penghubung antara sistem RTGS Dolar AS di Hong Kong dengan sistem RTGS Ringgit di Malaysia merupakan penghubung PvP merentas sempadan yang pertama antara dua sistem RTGS bagi dua mata wang berbeza di rantau ini. Penghubung seperti ini membolehkan aliran pembayaran yang lebih selamat dan cekap serta meningkatkan kestabilan monetari dan kewangan dengan menghapuskan risko penjelasan yang timbul daripada penghantaran mata wang berbeza dalam zon waktu yang berbeza." Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia berkata "Pewujudan penghubung PvP ini akan menggalakkan lagi kerjasama sistem pembayaran di Malaysia dan Hong Kong. Pewujudan penghubung ini juga akan meningkatkan lagi kecekapan dalam sistem pembayaran dan penjelasan, seterusnya memberikan sokongan terhadap aliran perdagangan dan pelaburan di rantau ini." Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi: Hong Kong Monetary Authority Sara Yip, Manager(Press), di talian +852 2878 8246 atau Ying-ying Cheng, Manager (Press), di talian +852 2878 1687 Bank Negara Malaysia Abu Hassan Alshari Yahaya, Pengarah (Jabatan Komunikasi Korporat), di talian +603 2691 9335 Hong Kong Monetary Authority Bank Negara Malaysia 13 November 2006


Bank Negara Malaysia
13 November 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?